Home Dunia Menyamar jadi peguam selama 15 tahun

Menyamar jadi peguam selama 15 tahun

ABUJA – Seorang lelaki Nigeriaa bakal didakwa kerana menyamar sebagai peguam selama 15 tahun.

Suspek berusia 49 tahun ditahan awal minggu ini semasa dia sedang membuat permohonan jaminan bagi pelanggannya di Mahkamah Lagos.

Persoalan mengenai kelayakan suspek timbul semasa prosiding mahkamah dalam kes jenayah pada hari Selasa lalu.

Jurucakap polis, Chike Oti berkata, lelaki itu tidak dapat berhujah apabila dicabar oleh seorang peguam lain di mahkamah.

Bertugas bersama-sama peguam lain sebelum ini, suspek dikatakan mempunyai pengetahuan bagaimana cara peguam bekerja tetapi dia bukan profesional.

Pelanggannya telah dibebankan syarat jaminan yang ketat dan dia mahukan pilihan dalam keadaan itu.

Bagaimanapun, suspek tidak tahu bagaimana untuk melakukannya,” kata Oti.

Seorang peguam lain yang hadir di mahkamah kemudian bertindak mencabar suspek, mengatakan seorang peguam berdaftar perlu menangani isu ikat jamin.

Laporan media tempatan mengatakan polis kemudiannya mempersoal suspek yang kemudian mengaku telah belajar undang-undang di sebuah universiti di Ukraine – tetapi belum diiktiraf di Majlis Peguam Nigeria.

Walaupun begitu, suspek dilaporkan telah memenangi beberapa kes mahkamah. – MalaysiaGazette