Home Politik PPBM Negeri Sembilan pula desak rundingan semula

PPBM Negeri Sembilan pula desak rundingan semula

PPBM Negeri Sembilan menuntut pembahagian semula kerusi DUN.

KUALA LUMPUR – Belum selesai kemelut pembahagian kerusi di Selangor, kini Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Negeri Sembilan pula mendesak supaya rundingan semula dibuat kerana tidak berpuas hati dengan keputusan sebelum ini.

Ketuanya, Baharuddin Ahmad mahu rundingan semula dan menuntut tambahan empat lagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) diberikan kepada mereka iaitu Linggi, Ampangan, Paroi dan Labu.

“Kami menuntut supaya pucuk pimpinan mendengar suara dan kehendak PPBM Negeri Sembilan serta membuka rundingan semula pembahagian kerusi DUN di negeri ini.

“Kami mendesak untuk menambah empat lagi kerusi DUN iaitu Linggi, Ampangan, Paroi dan Labu, yang mana kami yakin boleh menang jika calon Bersatu diletakkan di kawasan itu, namun sayangnya ia diberi kepada PAN (Parti Amanah Negara) dan PKR,” beliau dipetik dalam satu sidang media hari ini di Seremban.

Beliau mendakwa mereka sudah banyak melakukan gerak kerja berbanding parti-parti lain dalam Pakatan Harapan, malah mendapati orang ramai menerima calon mereka berbanding PKR dan PAN.

“Sebelum ini kami telah melakukan gerak kerja serta mendekati masyarakat setempat kawasan berkenaan, namun maklum balas yang diterima, mereka menolak calon PKR dan PAN tetapi, akan menyokong calon PPBM pada PRU14 nanti,” katanya lagi.

Terdahulu, pada 28 Januari lalu segelintir ahli PPBM Negeri Sembila juga membuat kecoh di Konvensyen PH kerana tidak berpuas hati dengan pembahagian kerusi DUN untuk pilihan raya umum ke-14 nanti.

Di Selangor juga, PPBM turut tidak berpuas hati dengan pembahagian kerusi DUN dan enggan menerima keputusan yang dibuat oleh PH Selangor. – MalaysiaGazette