KUALA LUMPUR – Pembangkang akan bertindak mengelirukan rakyat apabila kerajaan melakukan inisiatif atau melaksanakan sebarang perubah positif demi kebaikan penduduk di negara.
Ini jelas terbukti apabila pelbagai tohmahan serta tuduhan mula dilemparkan pembangkang terhadap usaha kerajaan untuk menggubal undang-undang baharu bagi mengekang penularan berita palsu.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri SK Devamany berkata, dengan adanya teknologi dan dunia siber, berita palsu dan tidak benar banyak tersebar dalam laman sosial ingga memaksa kerajaan untuk melakukan pembaruan demi kebaikan semua.
“Dah nama pun pembangkang, tentu perkara pertama yang dilakukan adalah membangkang. Pembangkang bukan pedulikan rakyat atau mahu mementingkan kepentingan mereka sebaliknya kepentingan peribadi untuk berkuasa pada PRU nanti.
“Kita dalam Barisan Nasional akan mendahulukan rakyat. Adalah sangat tepat langkah kerajaan ketika ini terutamanya dalam menangani penularan berita palsu tersebar terutama menerusi media sosial hingga boleh menjejaskan keharmonian dan perpaduan negara.
“Ketika ini, penyebaran berita sudah menjadi budaya politik bukan sahaja di negara kita sahaja malah seluruh dunia, yang mana fitnah dan hasutan mencetuskan persepsi negatif dalam negara dalam kalangan rakyat.
“Menyekat berita palsu tidak bermakna kebenaran itu dilupuskan seperti dakwaan pembangkang. Mereka takut pembohongan yang dilakukan oleh selama ini akan memberi impak kepada mereka dengan adanya penggubalan akta seperti itu. Saya seru kepada rakyat agar tidak sesekali terpedaya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran Safety Advocacy and Blind Spot Stickers anjuran Kelab Marshal Keselamatan Jalan Raya (RSMC) yang turut dihadiri oleh Presiden RSMC, Kapten K. Balasupramaniam.
Tambah Devamany, kelewatan penggubalan undang-undang bagi mengekang penularan berita palsu sebenarnya mungkin akan memperjudikan keselamatan negara.
“Banyak sangat berita ketika ini, kita perlu kekang semua itu demi menjaga keamanan serta perpaduan negara. Mengapa perlu khuatir dengan akta ini jika tidak berbuat salah.
“Dakwaan kononnya akta ini akan digunakan untuk kepentingan politik semata-mata adalah sesuatu yang tidak masuk akal malah mengundang kekeliruan dalam kalangan rakyat.
“Cukuplah, hentikan budaya pembangkang yang akan guna apa cara sekalipun memfitnah walaupun mengetahui inisiatif membawa kepada kebaikan,” tegasnya.
Baru-baru ini, kerajaan mengumumkan akta baharu menangani penularan berita palsu akan cuba dimasukkan dalam sidang Parlimen, Mac ini untuk digubal dan dibahaskan.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak, berkata undang-undang yang akan diletakkan di bawah bidang kuasa Jabatan Perdana Menteri itu masih di peringkat penelitian jawatankuasa khas.
Katanya, inti pati perundangan baharu itu akan dibentang kepada Jemaah Menteri selepas dibincangkan ahli jawatankuasa dianggotai pelbagai pihak dan mewakili fahaman politik berbeza.
Akta sedia ada (Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984) dikuatiri tidak mencukupi untuk menangani penyebaran berita palsu oleh kerana itu peruntukan baru harus digubal secepat mungkin. – MalaysiaGazette