Home Politik Saya bukan ‘orang luar’ di Sungai Besar – Shahrizat

Saya bukan ‘orang luar’ di Sungai Besar – Shahrizat

Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil bercakap kepada pemberita pada Majlis Perkahwinan Anak Timbalan Ketua UMNO Sungai Besar, Datuk Ramli Norani di Taman Ehsan 2, Sungai Besar, hari ini.

SUNGAI BESAR – Saya bukan ‘orang luar’ malah selalu datang ke kawasan Sungai Besar sejak dilantik sebagai Naib Ketua Wanita UMNO, lebih-lebih lagi semasa arwah Tan Sri Noriah Kasnon masih menjadi Ahli Parlimennya.

Demikian kata Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil sambil menyifatkan hubungannya dengan pemimpin dan akar umbi parti kawasan itu bagaikan sebuah keluarga.

“Semasa pilihan raya kecil pun, saya dan Ketua Wanita UMNO Selangor, Datuk Norhayati Omar dan Wanita UMNO Malaysia, kita menjadi jentera serta tulang belakang di Sungai Besar.

“Saya merasakan semua kawasan Parlimen dan DUN itu macam kita satu keluarga, tiada garis yang memisahkan kita semua.

“Saya bukan pemimpin yang hanya duduk di Kuala Lumpur, saya selalu turun ke padang dan saya memahami naluri dan citarasadi peringkat akar umbi,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perkahwinan Anak Timbalan Ketua UMNO Sungai Besar, Datuk Ramli Norani di sini, hari ini.

Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil beramah-mesra dengan orang ramai pada Majlis Perkahwinan Anak Timbalan Ketua UMNO Sungai Besar, Datuk Ramli Norani di Taman Ehsan 2, Sungai Besar, hari ini.

Beliau mengulas khabar angin mengatakan bekas Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu akan bertanding di kerusi P093 Parlimen Sungai Besar pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Desas-desus yang bertiup kencang itu turut mengatakan penyandang kerusi Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi pula akan kekal bertanding di kerusi N03 Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Panjang.

Shahrizat berkata, memandang Parlimen Sungai Besar itu merupakan kerusi tradisi untuk Wanita UMNO, beliau tidak menolak untuk meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengekalkan kerusi itu pada PRU14.

“Memang Sungai Besar sekian lama ini adalah antara satu-satunya kerusi di mana calonnya adalah wanita, jadi kalau kita hilang kerusi yang secara tradisi telah pun dimenangi oleh wanita, ini satu kerugian besar untuk wanita.

“Dia bukan soal peribadi, saya sudah semestinya akan minta dengan Perdana Menteri untuk mengekalkan kerusi-kerusi tradisi wanita, kalau boleh kepada calon wanita,” ujarnya.

Ditanya tentang sabotaj dalaman parti menjelang PRU14, Shahrizat berkata, beliau yakin dengan kepimpinan Perdana Menteri dapat meredakan perbalahan sesama sendiri.

“Saya percaya di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib, semua pihak akan ketepikan kelainan atau kekecewaan mereka.

“Kalau ada sikit-sikit ‘cah keting’, apabila kita semua menghadapi PRU14, sebagai satu keluarga besar di mana Sungai Besar menjadi contoh terbaik,” katanya. – MalaysiaGazette