KUALA LUMPUR – Seorang rakyat Malaysia yang merupakan antara kumpulan pertama pelajar yang dihantar ke Jepun di bawah Dasar Pandang ke Timur pada 1982 sangat teruja apabila Jepun membuat bidaan bagi projek kereta api berkelajuan tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura, dengan menyatakan bahawa terdapat banyak nilai yang baik untuk dipelajari rakyat negara ini jika menerima pakai sistem Shinkansen.
Datuk Zulkifli Abd Malek, yang dikatakan sebagai pelajar Dasar Pandang ke Timur paling berjaya kerana beliau kini merupakan anggota lembaga pengarah bagi 10 syarikat multinasional Jepun di Malaysia, berkata sebagai pencipta di peringkat dunia bagi sistem kereta api berkelajuan tinggi atau ‘bullet train’, Shinkansen jauh melangkaui bidang pengangkutan namun memupuk nilai-nilai warga Jepun mengenai ketepatan masa, keselamatan, kecekapan operasi, ketekunan dan budaya kerja positif.
“Sekiranya Shinkansen dilaksanakan di Malaysia, saya berpendapat ia akan melangkaui bidang pengangkutan. Sudah pasti akan wujud banyak benda baharu. Saya terutama sekali menyukai perkara sifar cela mengenai rakyat Jepun. Ini adalah sesuatu di mana Jepun akan memandang kita dengan menyatakan kita boleh lakukan dengan lebih baik.
Sifar cela adalah cara hidup mereka. Mereka sentiasa gemar memperbaiki keadaan dan sentiasa meletakkan diri mereka dalam suatu keadaan dengan pengguna di peringkat akhir, ini adalah sesuatu yang saya suka, dan cara mereka berfikir,” katanya kepada Bernama.
Dalam satu temu bual dengan Bernama, Duta Besar Jepun ke Malaysia Dr Makio Miyagawa berkata Jepun akan melaksanakan pakej holistik jika bidaan bagi projek infrastruktur terbesar di Asia Tenggara itu berjaya, termasuk pelan rancangan latihan kewangan dan sumber manusia bagi membolehkan Malaysia dan Singapura melaksanakan HSR dengan lebih efisien.
Zulkifli berkata dengan Shinkansen bersama-sama kita, banyak kebiasaan yang baik akan dapat dipupuk di kalangan rakyat Malaysia dan beliau menyentuh tentang begitu banyak manfaat dari segi disiplin dan tepat pada waktunya.
Budaya ini perlu diterima pakai oleh ribuan golongan muda Malaysia yang telah mendapat manfaat daripada Dasar Pandang ke Timur dan memanfaatkan negara secara keseluruhan.
“Keadaan ini akan membina tabiat yang baik di kalangan rakyat Malaysia, mereka akan menghormati masa. Mereka tahu jika mereka mahu menaiki Shinkansen, mereka mesti tiba tepat pada masanya, jadi ia memberi pengajaran kepada kita. Ini adalah sesuatu yang perlu kita pelajari dan dengan Jepun mengetuai projek HSR, dan kita belajar daripada mereka dan kemudian kita laksanakan dan contohi apa yang diajar mereka…dengan cara ini kita boleh berubah,” katanya.
“Apabila anda bercakap mengenai disiplin, cuba anda bayangkan hari ini jika anda menaiki kereta api kita di sini, anda mengikut jadual waktu, anda telah menunggu 10 minit (tetapi) kereta api tidak tiba, namun ia tidak berlaku dalam sistem kereta api Jepun. Mereka kata mahu bertolak pada 10.03 bermakna pada 10.03 kereta api akan bertolak. Itulah betapa tepat masa mereka.”
Dan dengan itu juga, rakyat Malaysia akan belajar bagaimana untuk beratur dengan betul apabila menaiki kereta api bukannya dengan cara menolak atau memotong barisan seperti yang biasanya dilihat di stesen-stesen LRT tempatan.
“Orang mungkin berfikir mengapa harus beratur. Sama seperti apabila kita pergi ke luar negara menaiki kapal terbang, kita akan berada di sana (lapangan terbang) dua jam sebelum berlepas kerana kita tahu jika tidak, kita akan tertinggal. Sudah pasti Shinkansen akan mengajar masyarakat kita menghormati waktu dan memastikan mereka ikut semua peraturan yang telah ditetapkan,” kata Zulkifli.
Beliau berkata, sudah pasti ia akan menghasilkan manfaat sampingan dalam bidang budaya dan ekonomi yang luar biasa daripada sistem Shinkansen, dengan menyebut daerah Muar di Johor – satu daripada stesen perhentian di sepanjang laluan HSR – sebagai satu contoh.
“Cuba bayangkan, tiba-tiba Muar menjadi sebuah tempat yang boleh berkembang dan saya suka mendengar tentang mendapatkan universiti seperti Universiti Tun Hussein Onn di Batu Pahat dan Universiti Teknikal Malaysia (UTeM) di Melaka terlibat dalam projek ini.
Duta Besar Miyagawa berkata, minggu lepas dua universiti dan Universiti Teknologi Malaysia di Skudai, Johor, akan menjadi pusat latihan bagi membangunkan sumber manusia di kalangan rakyat Malaysia untuk menjalankan sistem Shinkansen.
“Ia bermakna anda membangunkan bukan sahaja bidang pendidikan namun banyak lagi limpahan lain dan ia akan menjadi sangat menarik untuk dilihat,” katanya. Zulkifli menjangka limpahan itu akan menjadi sama-sama menarik kepada perniagaan di Singapura.
“Apabila Shinkansen dihidupkan, warga Singapura yang menjalankan perniagaan di Malaysia tidak perlu membuka pejabat mereka di Kuala Lumpur atau Putrajaya, mereka boleh mula memikirkan membuka pejabat di Batu Pahat atau Muar di mana sewanya lebih murah. Keadaan itu akan menghasilkan lebih banyak peluang pekerjaan bagi penduduk Muar dan Batu Pahat yang tidak perlu meninggalkan kampung mereka untuk pergi ke tempat lain untuk bekerja,” kata Miyagawa.
Zulkifli juga berkata, jika sistem Shinkansen memenangi bidaan HSR, ia adalah paling sesuai bagi rakyat Malaysia yang lulus dari universiti-universiti Jepun di bawah Dasar Pandang ke Timur menjadi sebahagian daripada pasukan untuk melaksanakan projek itu.
HSR, yang dianggarkan bernilai sekitar RM50 bilion, akan menjadi rebutan di kalangan pembida antarabangsa pertengahan tahun ini dan tender yang berjaya akan diketahui menjelang akhir tahun.
Apabila beroperasi menjelang 2026, HSR akan mengurangkan masa perjalanan di antara Kuala Lumpur dan Singapura kepada 90 minit berbanding empat hingga lima jam sekarang. – MalaysiaGazette