BENTONG – Pemegang Konsesi Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1), Anih Berhad menawarkan diskaun tol sebanyak 10 peratus kepada semua kelas kenderaan sempena sambutan Tahun Baharu Cina.
Pengarah Eksekutifnya Datuk Nik Fauzi Nik Hussein berkata, diskaun yang bermula pada pukul 12 tengah malam 16 Februari hingga 11.59 malam hari yang sama bertujuan memeriahkan sambutan perayaan itu.
Beliau menambah, Anih Berhad menjangkakan peningkatan trafik sebanyak 60 peratus bermula petang 14 dan 17 Februari depan berbanding 150,000 kenderaan pada hari biasa kerana pengguna mengambil peluang bercuti sempena cuti panjang perayaan.
“Bagi melancarkan perjalanan, Anih Berhad berharap orang ramai dapat mengikuti Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) bagi mengurangkan kenderaan bertembung pada masa sama pada waktu puncak di Plaza Tol Gombak, Plaza Tol Bentong dan Plaza Tol Karak,” katanya.
Berdasarkan TTA itu, mereka yang merancang pulang ke kampung pada 15 Februari di Pahang disarankan memasuki Plaza Tol Gombak pada pukul 12 tengah hari hingga 3 petang atau 7 malam ke 11 malam manakala mereka ke Kelantan dan Terengganu, waktu saranan ialah 6 hingga 10 pagi atau 5 petang ke 8 malam.
Manakala TTA pada 18 Februari pula, mereka dari Pahang disarankan masuk ke lebuh raya pada pukul 6 ke 10 pagi atau 7 malam ke 10 malam, Terengganu (8 ke 11 pagi atau 8 ke 10 malam) dan Kelantan (6 petang ke 10 malam atau 9 malam hingga 12 tengah malam).
Nik Fauzi berkata, pengguna kenderaan ringan juga disarankan untuk mengelak daripada memasuki Plaza Tol Gombak antara pukul 9.30 pagi hingga 12 tengah hari dan 9.30 malam hingga 12 tengah malam yang merupakan waktu saranan untuk bas ekspres. – MalaysiaGazette