Home Politik Hentikan spekulasi saya jadi calon – Shahrizat

Hentikan spekulasi saya jadi calon – Shahrizat

Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil (dua kanan) beramah mesra dengan sebilangan penduduk pada Program Jualan Sentuhan Rakyat di Jinjang, Kepong. foto FAREEZ FADZIL, 11 FEBRUARI 2018.
KUALA LUMPUR – Semua pihak khususnya kepimpinan UMNO digesa berhenti menimbulkan spekulasi dengan mengaitkan saya menjadi calon PRU-14, kata Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

Selaku Ketua Pergerakan Wanita UMNO, katanya, soal menjadi calon Barisan Nasional (BN) itu adalah hak dan bakal ditentukan oleh pengerusinya, Datuk Seri Najib Razak dan mana-mana pihak tidak wajar mendahuluinya.

“Hentikan spekulasi tentang siapa jadi calon di mana, kepada saya selaku Ketua Wanita UMNO dan BN, tumpuan saya adalah untuk menentukan jentera wanita mantap.

“Isu untuk siapa jadi calon itu semua kita serah bulat-bulat kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Najib, tutup cerita.

“Bukan jadi hak atau kuasa kita untuk menamakan sesiapa,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Jualan Sentuhan Rakyat dan Pasarnita Kepong hari ini.

Beliau mengulas desas-desus mengatakan selain bakal bertanding di kerusi Parlimen Sungai Besar, Shahrizat dikatakan akan menggantikan penyandang kerusi Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Semalam, Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunos sedia memberi laluan kepada Shahrizat untuk bertanding di Parlimen Sungai Besar, susulan ia merupakan kerusi tradisi untuk wakil Wanita UMNO.

Shahrizat juga berkata, beliau hanya boleh mencadangkan nama-nama calon wanita dan kawasan mana yang wajar ditandingi sayap UMNO itu pada PRU-14.

“Pada akhirnya terpulang kepada Pengerusi BN, jadi hentikan spekulasi yang dibuat, dua tiga hari ini saya tengok, pelbagai spekulasi dibuat untuk diri saya sendiri kerana ramai lagi calon (layak),” jelasnya.

Ditanya tentang jika peringkat akar umbi UMNO mahu beliau kembali bertanding pada PRU-14, Shahrizat bagaimanapun berkata, Pengerusi BN akan mengambil kira pelbagai faktor sebelum memuktamadkan calon parti.

“Saya rasa biar beliau membuat keputusannya. Bagi saya paling mustahak saya mesti tentukan jentera BN itu mantap.

“Saya turun ke padang untuk menentukan bahawa pusingan terakhir ini, wanita akan terus berjuang, salah satu cara kita yang amat mujarab ialah kita berkhidmat untuk rakyat.

“Setiap pengundi, setiap rakyat itu amat mustahak untuk kita BN,” katanya.

Beliau berkata lagi, siapa pun menjadi calon adalah ketentuan Allah dan manusia hanya boleh merancang, sebarang perubahan pada masa akan datang di luar kuasa manusia.

“Siapa tahu apa akan berlaku esok, sebab itu saya kata tak payah spekulasi, kita jangan mendahului Allah. Yang mustahak kita buat kerja saja, untuk menentukan BN menang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Saya bukan ‘orang luar’ di Sungai Besar – Shahrizat