DUBAI – Negara-negara Arab digesa segera mengurangkan gaji awam dan subsidi untuk mengekang perbelanjaan, mencapai pertumbuhan yang mampan dan mewujudkan peluang pekerjaan.
Bercakap di Forum Fiskal Arab di Dubai, Pengarah Urusan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF), Christine Lagarde menyambut baik pembaharuan yang diterima pakai oleh beberapa negara Arab, tetapi menegaskan lebih banyak diperlukan untuk mengatasi masalah ekonomi dan sosial yang menakutkan.
Harga minyak yang rendah membebankan kewangan pengeksport minyak Arab, sementara pengimport pula bertarung dengan kenaikan hutang, pengangguran, konflik, keganasan dan aliran masuk pelarian, katanya.
Hampir semua negara Arab merekodkan bajet defisit sejak beberapa tahun lalu dan ekonomi Arab hanya berkembang 1.9 peratus tahun lalu, separuh daripada kadar global.
Malah, perbelanjaan awam Arab sangat tinggi, khususnya di negara-negara yang kaya dengan minyak dengan perbelanjaan melebihi 55 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Meskipun kerajaan-kerajaan Arab telah mengambil langkah mengekang perbelanjaan tetapi pendekatannya hanya bersifat sementara.
Pembaharuan perbelanjaan awam perlu memberi tumpuan kepada mengurangkan subsidi yang mahal dan gaji awam sementara meningkatkan kecekapan dalam bidang seperti kesihatan, pendidikan dan pelaburan awam, katanya.
“Tidak ada alasan untuk terus menggunakan subsidi tenaga,” kata Lagarde.
“Ia sangat mahal – purata 4.5 peratus daripada KDNK dalam kalangan pengeksport minyak dan 3 peratus daripada KDNK bagi pengimport minyak.”
Semua enam anggota Majlis Kerjasama Teluk dan banyak negara Arab lain telah mengurangkan subsidi tenaga dalam beberapa tahun kebelakangan ini, tetapi kos mereka masih tinggi.
Pengerusi Tabung Monetari Arab (AMF), Abdulrahman al-Hamidy berkata, nilai subsidi tenaga Arab turun dari AS$117 bilion pada tahun 2015 kepada AS$98 bilion tahun lalu, menurut satu kajian oleh organisasinya.
Lagarde memberi amaran bahawa pertumbuhan lebih tinggi dan pembaharuan yang ketat diperlukan untuk mewujudkan pekerjaan untuk golongan muda Arab.
“Pengangguran belia adalah tertinggi di dunia – purata 25 peratus dan melebihi 30 peratus di sembilan negara. Lebih-lebih lagi, kira-kira 27 juta orang muda akan menyertai pekerjaan dalam tempoh lima tahun akan datang,” kata Lagarde. – MalaysiaGazette