KUALA LUMPUR – Setelah hampir sembilan tahun Gabungan BERSIH 2.0 bersama barisan pembangkang yang membantah sistem pilihanraya di negara ini yang didakwa kotor.
Namun sebilangan besar rakyat tidak dapat menerimanya dan ada yang tidak yakin dengan agenda yang dibawa BERSIH 2.0.
Hari ini ada segelintir daripada penyokong BERSIH sendiri yang hadir pada majlis pelancaran serta forum gabungan itu di Audotorium Dewan Sivik Majlis Perbandaran Petaling Jaya turut mempersoalkan gabungan itu.
Ada dalam kalangan mereka mempertikaikan kenapa perlu mengundi pada PRU-14 sekiranya tidak percaya kepada sistem demokrasi di Malaysia.
Ironinya, para panel popular dalam forum itu termasuk bekas Pengerusi BERSIH 2.0, Datuk Ambiga Sreenevasan dan anak Tun Dr. Mahathir Mohamad, Datin Marina turut menghadapi ‘kesukaran’ meyakinkan mereka yang hadir untuk keluar mengundi bagi memastikan kemenangan buat pembangkang.
Rata-rata penyokong gabungan itu dilihat seolah-olah sudah bosan dan muak kerana BERSIH dan pembangkang jelas tidak berjaya mengubah kerajaan seperti yang sering menjadi laungan mereka selama ini.
BERSIH yang sentiasa tampil dengan idea membawa rakyat di ke jalanan untuk mengubah kerajaan selain daripada menuntut pilihan raya yang telus, adil dan bersih sejak tahun 2012 sebenarnya semakin hambar dalam kalangan rakyat.
Rakyat dilihat mula was-was dengan cadangan untuk menukar kerajaan sedia ada dan dalam masa yang sama berpendapat agenda pembangkang hanya omong kosong.
Tinjauan penulis juga mendapati rata-rata yang hadir pada majlis pelancaran dan forum BERSIH kali ini tidak begitu bersemangat seperti biasa.
Tidak seperti dulu, masing-masing akan percaya ‘bulat-bulat’ dengan retorik pemimpin BERSIH termasuk pembangkang tetapi kini sudah mula mempersoalkannya.
Pemimpin BERSIH juga dilihat menghadapi masalah untuk menyakinkan para hadirin tentang pelbagai perkara termasuk agenda serta polisi dalam pakatan pembangkang sebaliknya cuba memberi persepsi rakyat di negara ini akan dapat menikmati perpaduan serta kemakmuran seandainya pembangkang berkuasa.
Selain itu, seperti biasa mereka ‘menghentam’ dan menuding jari kepada kerajaan.
Jawapan-jawapan ketika sesi soal jawab juga hambar dan kurang menyakinkan.
Malah salah seorang daripada hadirin yang juga merupakan Ketua Cawangan Parti Amanah Negara di Shah Alam, Yamin Salim dengan lantang menyoal mengapa hanya bahasa Inggeris digunakan walaupun jemputan serta slogan semuanya dalam bahasa Melayu.
“Saya tidak faham mengapa slogan Satukan Tenaga Kalahkan Penipuan dalam Bahasa Malaysia tetapi setiap orang yang duduk di atas pentas hanya bercakap dalam Bahasa Inggeris. Saya yang rasa tertipu ketika ini,” katanya.
Yamin yang ditemui selepas itu melahirkan rasa kecewa kerana tidak semua akan faham bahasa Inggeris pada majlis itu malah ada yang tertarik untuk hadir ke forum itu dengan harapan ia dijalankan dalam dwi bahasa.
“Semua boleh bercakap dalam bahasa Malaysia tetapi mereka gemar bertutur dalam bahasa Inggeris. Seperti slogan, saya juga rasa tertipu. Buang masa saya datang apabila semuanya dalam Bahasa Inggeris. Ada yang tidak faham.
“Mengapa tidak fikir semua itu? Yang datang pada hari ini dari pelbagai latarbelakang. Saya rasa ini tidak patut,” luahnya.
Marina yang kemudian bertindak menjawab pertanyaan itu kelihatan ‘keliru’ kerana tidak menyangka beliau bersama ahli panel telah bertutur dengan bahasa Inggeris.
“Saya minta maaf, memang pada asalnya penganjur minta kami guna dwi bahasa tetapi tidak pasti mana salahnya, kita hanya menggunakan bahasa Inggeris. Kami akan pastikan kesilapan seperti tidak berlaku pada masa hadapan,” ujarnya.- MalaysiaGazette