PORT DICKSON – Seorang anggota tentera berpangkat sarjan didakwa di mahkamah di sini atas tuduhan membunuh anak perempuannya yang berusia sembilan tahun pada 31 Januari lalu.
Tertuduh, Mohammad Abdullah Mohamed, dituduh menyebabkan kematian Nur Aina Nabihah Mohammad Abdullah di kediaman mereka di Taman Vista Jaya, dekat Lukut antara pukul 8.30 malam hingga 11.30 malam.
Tiada keterangan direkodkan daripada tertuduh ketika pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Siti Khairiah Abdul Razak.
Mohammad Abdullah akan didakwa di bawah Sekyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.
Majistret menetapkan 15 Mac ini untuk sebutan semula kes.
Kematian Nur Aina mendapat liputan besar media selepas mangsa disyaki didera oleh bapa dan ibu tirinya.
Mangsa yang dilaporkan ditemui dengan keadaan tidak sedarkan diri pada pukul jam 11.30 malam pada 31 Januari sebelum bapanya cuba memberikan bantuan pernafasan (CPR) kepada anak keduanya itu.
Nur Aina kemudian dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban untuk rawatan, namun mangsa disahkan meninggal dunia oleh doktor pada jam 12.30 tengah malam.
Bedah siasat yang dijalankan mengesahkan kematian Nur Aina disebabkan kecederaan serius yang berpunca daripada objek tumpul.
Selain itu, mangsa didapati mengalami pelbagai kecederaan pada usus, kerosakan hati dan patah tulang rusuk.
Susulan kematian kanak-kanak malang itu, polis menahan bapa dan ibu tirinya untuk siasatan lanjut.
Ibu tiri Nur Aina telah dibebaskan dengan jaminan. – MalaysiaGazette