RABAT – Pihak berkuasa Maghribi berjaya melakukan rampasan terbesar kokain sebanyak 541 kilogram yang diseludup dari Amerika Latin menggunakan sebuah kontena di Casablanca baru-baru ini.
Daily Mail melaporkan, dalam satu kenyataan daripada Biro Siasatan Kehakiman Pusat (BCIJ), seramai enam individu diberkas termasuk seorang warga Brazil dipercayai mendalangi penyeludupan tersebut.
BCIJ bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah sebenar beberapa mata wang asing yang turut dirampas dalam kejadian itu itu namun dipercayai nilainya sangat besar.
“Kami sedang menyiasat dalam pelbagai aspek tentang rangkaian dadah yang kami percaya antara yang terbesar dan paling berbahaya ketika ini.
“Ianya berkaitan dengan kartel dadah di Amerika Latin dan pihak berkuasa sedang bertungkus lumus mematahkan sebarang cubaan untuk menyeludup bahan tersebut ke negara ini.
“Kedudukan negara sebagai pusat transit yang strategik merupakan antara punca mengapa penyeludup suka menjalankan aktiviti mereka dari sini sebelum ke Eropah ,” kata kenyataan itu.
Dalam pada itu, sejak sedekad yang lalu, para penyeludup dan kartel dadah telah mewujudkan beberapa laluan baharu bagi aktiviti jenayah berbahaya itu ke seluruh Eropah.
Dalam laporan terbaru Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) pula menyebut sebahagian besar dadah akan dihantar dari Amerika Tengah melalui Afrika Barat dan kini juga menggunakan laluan dari Afrika Utara. – MalaysiaGazette