Home Politik Baiah penting untuk Pas kukuhkan parti hadapi PRU – Ahmad

Baiah penting untuk Pas kukuhkan parti hadapi PRU – Ahmad

Ahmad Yakob

KUALA LUMPUR – Walaupun dikritik berhubung isu baiah, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob mempertahankannya sebagai penting dalam membantu mengukuhkan parti Islam tersebut untuk menghadapi pilihan raya umum ke-14.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 11 APRIL 2017.

Ahmad yang juga Pesuruhjaya Pas Kelantan berkata, lafaz baiah untuk calon Pas itu bertujuan untuk patuh kepada hukum Allah SWT, Rasul dan pucuk pimpinan selagi tidak bercanggah prinsip Islam.

“Lafaz baiah sebegini sangat penting dan diperlukan bagi mengukuhkan parti di Kelantan khasnya dalam berdepan PRU14 yang agak mencabar,” beliau dipetik berkata hari ini.

Mengulas lanjut katanya, lafaz baiah adalah perkara asas dilafazkan seluruh calon wakil rakyat parti itu sebelum ini, bagi menjaga ketuanan Islam dalam perjuangan.

Menurutnya, sekiranya baiah dilanggar, maka mereka akan berhadapan dengan laknat Allah SWT dan segala elaun diterima adalah haram.

Sementara itu, bagi baiah taklk cerai talak tiga, Ahmad menyerahkan kepada Majlis Syura Ulamak untuk sama ada menggunapakai atau menggugurkan sumpah itu kepada calonnya.

“Manakala taklik dalam baiah atau melafazkan cerai talak tiga sebagaimana terkandung dalam baiah di Kelantan sebelum ini, maka penetapannya kepada calon PRU14 diserah kepada keputusan Majlis Syura Ulamak,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Dewan Ulamak Pas, Datuk Dr Mahfodz Mohamed berkata, parti itu dijangka menggugurkan sumpah baiah talak tiga yang perlu dilafaz calon pada PRU14. – MalaysiaGazette