KUALA LUMPUR – Tiada lagi perebutan dalam kalangan ketua-ketua UMNO Bahagian di Selangor untuk menjadi calon, sebaliknya mereka komited menjadi jentera bagi memenangkan Barisan Nasional (BN).
Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos berkata, UMNO Selangor hari ini sudah jauh berbeza berbanding Pilihan Raya Umum Ke-12 dan 13 kerana unsur sabotaj dan boikot berjaya ditangani pada hari ini.
“Sebab itu saya tak mahu bertanding, dah tak ada siapa nak bertanding di Sungai Besar ini, Budiman pun nak bertanding di DUN, jadi kita minta Shahrizat datang.
“Jadi di Selangor ini tak seperti yang lepas-lepas berebut…berebut…berebut…jadi sekarang ini masing-masing buat kerja saja untuk memastikan kawasan masing-masing menang,” katanya pada sesi soal jawab dengan pengamal media di Sekin Fisherman Village Hotel & Resort, Sekinchan, baru-baru ini.
Beliau berkata, suasana harmoni dan tolak ansur di semua peringkat kepimpinan UMNO Selangor kini menjadi beban kepada Presiden UMNO selaku Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Soal calon itu, akhirnya semua layak jadi calon, biarlah Perdana Menteri pening yang ini layak…yang ini layak…yang ini layak…yang ini suruh tak mahu…yang ini suruh tak mahu…yang ini dicalonkan tak mahu
“Jadi berbeza dulu dan sekarang di Selangor,” katanya.
Jamal turut berkongsi sejarah sabotaj dalaman dan boikot oleh 6,000 ahli UMNO di kerusi Parlimen Sungai Besar dalam PRU13 yang menyebabkan calonnya ketika itu, Allahyarham Tan Sri Noriah Kasnon hanya mendapat majoriti 399 undi.
“Kalau Ketua UMNO Bahagian itu layak bertanding, akhirnya disabotaj oleh pihak-pihak tertentu di atas sana ketika dulu yang utamakan kroni-kroninya, dari 21 kepada 12 DUN yang dimenangi UMNO Selangor.
“Kepimpinan UMNO Bahagian ini memainkan peranan penting, kalau mereka berebut semasa sendiri, penyokong akan ikut pemimpin mereka sendiri, jadi bahagian itu berpecah,” katanya. – MalaysiaGazette