KUALA LUMPUR – Bekas penyerang import Kelantan musim lalu, Mohammed Ghaddar akan kembali memperkuatkan jentera serangan pasukan The Red Warriors (TRW) dalam saingan Liga Malaysia 2018.
Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, pemain dari Lubnan itu dibawa masuk bagi menggantikan pemain import, Magaro Gomis yang mengalami kecederaan.
“Mohammed Ghaddar dijangka tiba Khamis ini untuk bersama pasukan menjalani latihan bagi persiapan menghadapi perlawanan Liga Super,” katanya ketika dihubungi Bernama malam tadi.
Bibi Ramjani berkata, Kafa sudah melengkapkan pendaftaran pemain berkenaan.
Sepanjang mewakili Kelantan musim lalu, Mohammed Ghaddar berjaya menjaringkan 18 gol dalam 12 perlawanan, sebelum beliau berhijrah ke pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT). – MalaysiaGazette