KUALA LUMPUR – Tidak silap menyatakan orang Melayu terlalu leka dan seronok dengan hiburan sehinggakan apa sahaja acara hiburan akan mendapat sambutan di luar jangkaan.
Konsert atau acara di Malaysia sekarang ini membuktikan kenyataan yang memang cenderung ke arah hiburan.
Sebenarnya tidak salah jika mahu berhibur, tetapi janganlah terlalu melampau. Cukuplah ala kadar dan tidak melalaikan.
Malam Sabtu lalu, Konsert Sheila On 7 dii StarXpo Center, KWC Fashion Mall di sini dihadiri kira-kira 7,000 peminat dan rata-rata orang Melayu.
Majoritinya adalah remaja Melayu berusia belasan tahun dan awal 20an.
Ternyatalah orang Melayu kita memang cukup suka majlis berbentuk hiburan, tidak kisahlah sama ada yang berbayar ataupun tidak.
Apa yang mengecewakan, tanpa segan silu, mereka bebas berpelukan dengan lelaki.
Itu belum lagi terjerit-jerit dan terkinja-kinja kerana terlalu fanatik terhadap kumpulan yang dipuja itu.
Pemandangan itu cukup memalukan apabila remaja wanita Melayu yang bertudung akhirnya ‘layu’ gara-gara terlampau mengejar hiburan.
Jika anak muda kaum lain sibuk mengejar kejayaan, remaja Melayu pula sibuk mengejar hiburan bagaikan tiada sempadan.
Memanglah nama pun konsert, perlu agresif dan tidak boleh duduk atau berdiri menonton secara kaku atau statistik.
Namun gelagat remaja Melayu yang bergaul bebas itu mencemarkan senario pada malam itu.
Apa pun, untuk mengubah pemikiran masyarakat Melayu yang terlalu suka akan hiburan bukanlah mudah kerana ia sudah sebati dengan jiwa orang Melayu.
Orang Melayu terlalu leka dengan hiburan, tambahan pula sumber hiburan pada masa kini tidak perlu dicari kerana ia datang bergolek secara percuma atau berbayar.
Semoga konsert-konsert hiburan akan datang, tidak ada lagi anak Melayu yang hanyut.
Sebaliknya, bangkitlah dari tidur yang panjang agar orang kita tidak dikaitkan dengan bangsa yang suka berhibur. – MalaysiaGazette