Home Politik Pembangkang panas punggung – Tiong Lai

Pembangkang panas punggung – Tiong Lai

Pengerusi Lembaga Amanah Kolej Unversiti Tunku Abdul Rahman (TAR UC), Datuk Seri Liow Tiong Lai bercakap pada sidang media pada Majlis Ulangtahun TAR UC Going 50 People Behind The TARC History di Kolej Univerisit Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 13 FEBRUARI 2018

KUALA LUMPUR – Rata-rata rakyat Malaysia dipercayai sudah muak dan bosan dengan retorik, fitnah serta propaganda pembangkang sehingga menyebabkan sebilangan daripada mereka menyertai kempen undi rosak.

Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, golongan ini sudah tidak ‘tahan’ kerana tindakan pembangkang yang berterusan membohongi pengundi, selain menyebarkan maklumat tidak benar selama ini.

Menurut beliau, rasa bosan dan kecewa itu ditunjukkan oleh mereka dengan tidak keluar mengundi atau merosakan undi tersebut bagi memastikan kemenangan tidak berpihak kepada mana-mana parti.

“Saya tidak akan salahkan golongan ini kerana negara ini mengamalkan demokrasi. Terpulang kepada diri masing-masing untuk mengundi atau tidak.

“Rata-rata rakyat kita sudah bosan dengan kerenah pembangkang yang terlalu banyak menabur dan serta menyebarkan berita berbentuk fitnah dan tidak benar. Arus teknologi disalahguna.

“Sampai bila mahu menipu rakyat? Sampai bila mahu mempergunakan mereka untuk kepentingan peribadi? Kerana tidak tahan itulah, kempen sebegini dilancarkan. Semua ini salah pembangkang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas pra pelancaran majlis ulang tahun ke-50 Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (TAR UC) di sini hari ini.

Tiong Lai menambah, pembangkang kini ‘panas punggung’ kerana sikap sendiri yang terlampau teruja sehingga melampaui batas menyebarkan berita palsu terutamanya tentang kerajaan Barisan Nasional (BN) saban hari.

“Penyokong yang sebelum ini pernah menyokong pembangkang juga dilihat tidak gembira, bosan dan tidak yakin dengan keupayaan parti lawan. Semua ini gara-gara angkara sendiri,” tegasnya.

Dalam pada itu, Tiong Lai tetap menyeru kepada masyarakat umum terutamanya pengundi lama dan baharu supaya berfikir sedalam-dalamnya sebelum membuat keputusan untuk tidak mengundi atau merosakkan undi.

“Adalah lebih baik sekiranya anda mengundi untuk kerajaan yang kuat dan stabil demi masa depan anda. Itu lebih baik daripada tidak mengundi langsung atau undi rosak. Ianya hanya akan merugikan negara,” ujarnya.

Kempen undi rosak pada PRU ke-14 dikatakan dibuat pihak tertentu sebagai tanda protes terhadap pembangkang dan BN, selepas gabungan pembangkang menamakan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri.

Media sosial menjadi medium gerakan tertentu yang cuba mempromosikan usaha merosakkan undi menerusi mesej #UndiRosak atau #Spoiltvote dan #ProtesPRU. – MalaysiaGazette