KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) terus komited membangunkan modal insan industri perbekalan elektrik negara dengan yang terbaru menerusi penubuhan sebuah Pusat Latihan Teknikal di Kota Belud, Sabah bagi melatih warga kerja Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).
Pengerusi TNB/SESB, Tan Sri Leo Moggie berkata, selain SESB yang merupakan anak syarikat TNB melalui pegangan 83 peratus, pusat latihan tersebut juga memberi manfaat kepada kontraktor SESB dan masyarakat awam di Sabah.
Pusat Latihan Teknikal itu bagi kursus kekompetenan pencantum kabel yang pertama di Sabah dan telah mendapat pentauliahan Suruhanjaya Tenaga untuk mengendalikan latihan kepada para pelatih dalam kategori pencantum kabel elektrik sehingga tahap voltan 33kV.
Merasmikan pusat itu baru-baru ini, Moggie berkata, operasi pusat latihan tersebut turut melibatkan sebuah lagi anak syarikat TNB melalui pegangan 100 peratus, TNB Integrated Learning Solution Sdn Bhd (ILSAS).
Menurutnya lagi, penubuhan pusat itu adalah selari dengan hasrat TNB membangunkan modal insan berkaitan latihan teknikal dan perkhidmatan khusus yang dilaksanakan oleh ILSAS untuk TNB dan industri tenaga sejak 40 tahun lalu.
“Sejak 1978 lagi, ILSAS giat membangunkan tenaga mahir yang kini dikenali sebagai TVET atau Technical, Vocational Education and Training. Menerusi ILSAS, tiga tahun kebelakangan ini TNB membelanjakan RM90 juta setahun untuk pembangunan modal insan,” katanya.
Selain ILSAS, pembabitan TNB membangunkan modal insan turut melibatkan Universiti Tenaga Nasional (Uniten) dan Yayasan Tenaga Nasional (YTN).
Daripada 27,729 siswazah yang dilahirkan Uniten sejak penubuhannya pada 1997, seramai 12,505 atau 45 peratus adalah lulusan kejuruteraan.
Pada tahun lepas, Uniten berada dalam kelompok dua peratus terbaik daripada 26,000 universiti di seluruh dunia, berdasarkan QS World University Rankings mengikut subjek Kejuruteraan dan Teknologi.
YTN pula menawarkan 11,000 biasiswa dan pinjaman boleh ubah sejak 1993 lagi,” kata Moggie lagi.
Pada 2017, YTN telah membelanjakan RM55.78 juta bagi penajaan penuntut Malaysia yang cemerlang untuk menyambung pendidikan di universiti tempatan dan luar negara, menjadikan keseluruhan lebih RM1 bilion dilaburkan bagi tujuan itu. – MalaysiaGazette