BELANDA – Menteri Luar Belanda meletak jawatan selepas akui menipu tentang pertemuannya dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin.
Halbe Zijlstra dengan berlinangan air mata mengumumkan keputusan itu di Parlimen selepas ahli-ahli Parlimen menuntut penjelasan daripada beliau.
Semasa kempen pilihan raya Mac lalu, Zijlstra mendakwa secara peribadi mendengar Putin bercakap mengenai pembentukan ‘Greater Russia’ pada tahun 2006.
“Saya tidak ada pilihan lain kecuali melepaskan jawatan saya kepada Raja,” kata Zijlstra, sehari selepas mengakui penipuannya.
Bercakap mengenai perletakan jawatannya, Zijlstra mengakui telah membuat kesilapan terbesar dalam kerjaya politiknya dan Belanda sepatutnya mempunyai menteri luar negeri yang tidak diragukan.
Meskipun menyedari perbuatan itu bodoh tetapi Zijlstra terus mempertahankan bahawa Putin benar-benar mengucapkan kata-kata itu.
Beliau hanya menjadi menteri luar negeri selama empat bulan.
Kedutaan Rusia di Belanda sebelum ini mengadu tentang kenyataan Zijlstra dan menuduh Belanda membuat tuntutan tidak berasas tentang Rusia. – MalaysiaGazette