KUALA LUMPUR – Malaysia mencatatkan pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.9 peratus pada 2017 berbanding 4.2 peratus pada 2016 manakala inflasi pula berada pada paras 3.7 peratus berbanding 2.1 peratus tahun sebelumnya.
Bank Negara Malaysia dalam kenyataannya berkata, prestasi positif itu didorong oleh permintaan kukuh sektor swasta selain sokongan daripada sektor luaran.
Dari segi bekalan, kesemua sektor ekonomi kecuali perlombongan terus berkembang, katanya.
Bank Negara menjangkakan pertumbuhan ekonomi terus menggalakkan tahun dengan permintaan domestik kekal sebagai pemacu utama ekonomi.
Kadar pertumbuhan global akan menjadi lebih pantas dan terus memberikan manfaat kepada eksport Malaysia, sekaligus menghasilkan limpahan positif terhadap kegiatan ekonomi dalam negeri.
Inflasi keseluruhan dijangka menjadi sederhana tahun ini, refleksi kepada kesan faktor kos global yang lebih kecil serta ringgit yang lebih kukuh berbanding 2017.
“Tekanan menaik yang wujud berikutan keadaan permintaan yang teguh akan dibendung oleh kapasiti lebihan dalam pasaran pekerja di samping pelaburan yang berterusan untuk pengembangan kapasiti pengeluaran.
“Walau bagaimanapun, trajektori inflasi keseluruhan akan terus dipengaruhi oleh trend harga minyak dunia yang masih amat tidak menentu,” katanya.
Bagi prestasi suku keempat, KDNK berkembang sebanyak 5.9 peratus dengan disokong oleh pengembangan aktiviti global dan pertumbuhan pelaburan dan penggunaan negara-negara maju.
Ia turut dibantu oleh pertumbuhan memberangsangkan prestasi perdagangan di Asia yang dipacu oleh permintaan global dan menyaksikan dagangan Malaysia berkembang dua digit atau 14.2 peratus pada suku keempat selain turut mencatatkan imbangan perdagangan yang semakin melebar kepada RM27.7 bilion.
Pertumbuhan pelaburan sektor swasta yang berkembang sebanyak 9.2 peratus disokong oleh sentiment positif dan hasrat pelaburan.
Penggunaan swasta pula tumbuh sebanyak tujuh peratus didorong oleh perkembangan sektor pekerjaan dan upah.
Kadar inflasi dan inflasi utama suku keempat 2017 pula semakin sederhana pada suku keempat 2017 disebabkan oleh penurunan inflasi dalam kategori rumah dan pengangkutan.
Dalam pada itu, Bank Negara Malaysia juga ingin mengetengahkan dua isu iaitu ‘Rumah Mampu Milik: Cabaran dan Langkah Ke Hadapan’, yang mengupas dengan lebih lanjut beberapa cadangan dasar sebagai langkah ke hadapan bagi menangani cabaran-cabaran berkaitan dengan isu rumah mampu milik, untuk perbincangan umum.
Isu kedua adalah ‘Application Programming Interface (API) Terbuka: Suatu Revolusi Kewangan’ yang memberikan pencerahan mengenai penggunaan API Terbuka dalam perkhidmatan kewangan, termasuk perkhidmatan-perkhidmatan baharu yang boleh ditawarkan melalui API Terbuka dan beberapa isu berkaitan, dengan tumpuan khusus pada penggunaan API Terbuka dalam sektor kewangan di Malaysia.-MalaysiaGazette