PRETORIA – Jawatankuasa eksekutif parti Kongres Nasional Afrika (ANC) Afrika Selatan memecat Presiden, Jacob Zuma sebagai ketua negara selepas mengadakan mesyuarat selama 13 jam.
Agensi berita antarabangsa melaporkan Zuma,75, yang telah memegang tampuk pemerintahan sejak tahun 2009 menghadapi pelbagai tuduhan salah laku dan penyelewangan dana negara namun sentiasa tampil menafikannya.
Bagaimanapun, ANC yang mengadakan usul tidak percaya terhadap pemimpin ‘kuku besi’ itu kemudian bertindak memecat setelah permintaan sebulat suara jawatankuasa itu yang mahu beliau meletak jawatan secara sukarela tidak berjaya.
Menurut Setiausaha Agung ANC, Ace Magashule yang mengesahkan berita tersebut turut memberi dua kata supaya pemimpin itu menerima keputusan parti atau berdepan dengan tindakan perundangan.
“Jika beliau masih berdegil, beliau mungkin terpaksa berdepan dengan tindakan lain. Kita telah sebulat suara secara demokratik memecat beliau daripada memegang tampuk pemerintahan berikutan pelbagai skandal dan tuduhan rasuah dihadapi olehnya.
“Kita akan hantar surat rasmi supaya beliau lepaskan sahaja jawatan itu,” katanya.
Zuma telah dicemari oleh skandal rasuah yang banyak selain daripada bertanggungjawab dengan pertumbuhan ekonomi yang perlahan serta kadar pengangguran yang mencetuskan kemarahan rakyat di negara ini yang juga merupakan benua paling maju Afrika.
Pada tahun lalu, Mahkamah Agung memutuskan Zuma akan berhadapan dengan 18 tuduhan rasuah, penipuan dan pengubahan wang haram yang berkaitan dengan perjanjian senjata tahun 1999.
Baru-baru ini, hubungan Zuma kepada keluarga Gupta – individu kaya yang dilahirkan di India, yang dikatakan mempengaruhi kerajaan telah menyebabkan popularitinya berkurangan.
Namun dakwaan itu dinafikan oleh kedua-dua pihak.-MalaysiaGazette