Home Nasional Padah warga Filipina guna IC palsu

Padah warga Filipina guna IC palsu

Sebahagian rakyat Filipina yang dihadapkan ke dua mahkamah berasingan di Johor Bahru kerana memiliki kad pengenalan palsu dan kad pengenalan milik orang lain.

JOHOR BAHRU – Padah menggunakan kad pengenalan palsu dan milik orang lain, seramai 20 warga Filipina termasuk lapan wanita didakwa di dua mahkamah berasingan di sini hari ini.

Kesemua mereka mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.

Mereka yang berusia antara 20 hingga 42 tahun itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di sekitar Taman Rinting, Masai di sini, antara jam 2.30 pagi hingga 4.30 pagi kelmarinz

Kesemua mereka didakwa mengikut Peraturan 25 (1)(e) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Di Mahkamah Sesyen di sini, dua lelaki dan empat wanita Filipina itu membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Azureen Shahira Sauffee Affandi.

Dua daripada mereka dikenakan denda RM2,000 atau tiga bulan penjara manakala empat lagi dihukum penjara dua bulan dari tarikh mereka ditahan.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret di sini seramai empat wanita dan 10 lelaki lagi lagi dihukum penjara 10 bulan dari tarikh tangkapan selepas masing-masing mengaku bersalah akan pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Noor Aisyah Ahmad.

Tiga daripada mereka didakwa menggunakan kad pengenalan milik orang lain sebagai pengenalan diri, 10 lagi didakwa tanpa kuasa yang sah menggunakan kad pengenalan palsu atas nama orang lain manakala seorang lagi didakwa menggunakan kad pengenalan pemastautin tetap palsu atas nama orang lain.

Kesemua pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Pendaftaran Negara, Mohd. Fadhli Abdul Razak.

Mengikut fakta kes, mereka ditahan dalam satu operasi terancang JPN bersama Pasukan Gerakan Am dan Jabatan Imigresen yang membabitkan keseluruhan 76 pegawai dan anggota. – MalaysiaGazette.