Home Nasional Perkhidmatan Tebrau Shuttle Service ditambah

Perkhidmatan Tebrau Shuttle Service ditambah

Menteri Pengangkutan, Dato Seri Liow Tiong Lai melawat pelepasan kereta api ETS pada Majlis Edaran Pek Cenderahati kepada penumpang KTM Berhad sempena Sambutan Tahun Baru Cina di Stesen KL Sentral, Kuala Lumpur. foto AQIRA AZEMI, 14 FEBRUARI 2018

KUALA LUMPUR- Malaysia bakal meminta supaya jumlah kekerapan perkhidmatan tren ulang-alik Tebrau (Tebrau Shuttle Service) yang dikendalikan oleh Keretapi Tanah Melayu Bhd. (KTMB) ditambah kepada 36 tahun depan.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, dengan penambahan tersebut, ia bakal memberi manfaat kepada 1,500 lagi penumpang baharu sehari.

“Buat masa ini kita mempunyai 31 perkhidmatan sehari dan kita mahu tambah lagi menjadikannya 36.

“Kita tidak boleh buat sekaligus kerana Singapura menghadkan bilangan shuttle sehari tetapi kita akan tetap membuat permohonan,”katanya kepada pemberita selepas menyerahkan pek cenderahati kepada penumpang KTM sempena sambutan Tahun Baharu Cina di KL Sentral hari ini.

Menurut Tiong Lai, ini menunjukkan perkhidmatan rel mendapat sambutan dalam kalangan rakyat dan perkara ini amat menggembirakan kerajaan.

Perkhidmatan tren ulang-alik Tebrau yang diperkenalkan sejak 2015 itu bertujuan untuk mengurangkan kesesakan sepanjang Tambak Johor pada waktu puncak.

Buat permulaan sejumlah tujuh perjalanan ulang-alik yang bermula di Stesen JB Sentral pada 5.30 pagi menuju Stesen Woodlands di Singapura.

Perkhidmatan mula ditambah kepada 31 kali pada tahun ini.-MalaysiaGazette