Home Nasional Polis Johor rampas dadah, 2 pistol

Polis Johor rampas dadah, 2 pistol

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd. (kanan) dan Timbalannya, Datuk Kamarudin Md. Din menunjukkan pistol yang dirampas pada sidang media di IPK Johor hari ini.

JOHOR BAHRU – Seramai 2,010 orang atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah dan sebanyak 76.65 kilogram bahan itu yang bernilai RM5.29 juta berjaya dirampas polis negeri ini bermula Januari hingga semalam.

Terbaharu, kata Ketua Polis Johor, Datuk Khalil Kader Mohd., polis negeri ini berjaya merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM41,408 dan merampas dua pucuk pistol di sebuah rumah di Jalan Bukit Kontang, Tangkak semalam.

Menurutnya, serbuan di sebuah rumah pada 10.30 pagi itu, polis turut menemukan sebanyak 12 peluru hidup.

“Dua lelaki yang ditahan berusia 40 dan 67 tahun dengan hasil semakan mendapati salah seorang mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan salah seorang daripada mereka juga didapati positif dadah jenis methamphetamine.

“Kedua-dua mereka kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga 20 Februari ini,” katanya pada sidang media di Ibu pejabat Polis Kontinjen Johor di sini hari ini.

Beliau berkata, dadah yang dirampas adalah dipercayai daripada jenis syabu (578.1 gram), heroin (3.60 gram), ketamin (6.70 gram), pil ekstasi (tujuh biji), pil erimin5 (tujuh biji) dan serbuk ekstasi (22.70 gram).

Tambahnya, dua pucuk pistol yang dirampas pula daripada jenis Revolver dan Smith & Welson.

Kes tersebut, katanya, disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya, Seksyen 8 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 7(2) Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971. – MalaysiaGazette