PETALING JAYA – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mendesak Pendaftar Pertubuhan (RoS) meluluskan 21 bahagiannya di seluruh negara agar parti itu dapat membuat persiapan pada PRU-14.
Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata,
parti itu telah mengemukakan borang pendaftaran kepada RoS agar bahagiannya diluluskan dengan segera.
Katanya, kesemua bahagian tersebut sudah bersedia namun, tidak boleh meneruskan gerak kerja kecuali sekiranya telah diluluskan secara rasmi oleh RoS.
Menurut Muhyiddin, pemimpin PPBM hanya boleh mendirikan cawangan sebagai mematuhi Perlembagaan parti selepas bahagian-bahagian tersebut diluluskan.
“Ahli yang telah berdaftar boleh memilih cawangan yang mereka mahu.
“Proses ini sangat penting agar Bersatu (PPBM) dapat bergerak ke hadapan dan meneruskan pemilihan pemimpin kami untuk cabang-cabang.
“Jika bahagian tidak didaftarkan maka ia akan menjadi sukar bagi kami,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Muhyiddin berkata, beliau akan menulis surat kepada RoS untuk meminta kerjasama dalam menyelesaikan aduan yang telah diterima pada mesyuarat agung tahunan PPBM dan isu-isu lain.
“Kami ingin mengetahui dengan tepat apa yang mereka adakan, dan apakah tindakan yang sesuai yang perlu diambil terhadap aduan itu.
“Sehingga hari ini kami tidak menerima apa-apa salinan aduan yang dibuat oleh individu ini kepada RoS.”
Sebelum ini, terdapat ahli PPBM yang mendakwa bahawa parti itu telah melanggar perlembagaan parti ketika mengadakan mesyuarat agung tahunan pertamanya pada Disember tahun lepas.
Tuduhan itu ekoran PPBM gagal mengadakan mesyuarat diperingkat cawangan sebelum mengadakan mesyuarat agung.
Sehubungan itu, puluhan aduan telah dibuat dan dihantar ke RoS untuk tindakan.
Mengulas mengenai perkara itu, Muhyiddin menafikan dakwaan tersebut apabila mengatakan cawangan hanya perlu mengadakan mesyuarat agung tahunan apabila sudah berusia setahun.
Muhyiddin menegaskan, PPBM akan mengambil tindakan terhadap ahli yang membuat dakwaan tidak berasas terhadap parti melalui media.
“Kami akan merujuk ahli itu ke jawatankuasa disiplin dan kami mungkin akan memecat mereka,” ujarnya.
Terdahulu, Muhyiddin melancarkan laman web bagi meminta orang ramai membantu membiayai itu sebagai sokongan menjelang pilihan raya umum.
“Dana itu adalah untuk membantu jentera pilihan raya kami.
“Kami memerlukan sokongan semua rakyat Malaysia untuk mencapai misi kami untuk mengubah kerajaan,” tambahnya. – MalaysiaGazette