Home Utama Mayat amah Indonesia mati didera dituntut Konsulat Indonesia pagi ini

Mayat amah Indonesia mati didera dituntut Konsulat Indonesia pagi ini

PULAU PINANG – Mayat pembantu rumah warga Indonesia yang maut dipercayai didera majikannya dituntut Pejabat Konsulat Indonesia di negeri ini pagi ini.

Ketua Polis Negeri, Datuk A. Thaiveegan berkata, mayat Adelina Lisao, 26, diserahkan di Hospital Bukit Mertajam (HBM) di sini kira-kira pukul 9 pagi tadi untuk urusan penghantaran pulang ke kampung halamannya di Nusa Tenggara Timur.

Mengulas perkembangan kes itu, Thaiveegan berkata, polis kini sedang menunggu laporan lengkap hasil bedah siasat oleh pakar bagi mengesahkan punca sebenar kematian pembantu rumah berkenaan.

“Sehubungan itu, kita menggesa orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes ini termasuk dakwaan mangsa disimbah asid seperti dilaporkan media Indonesia,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Aplikasi Sistem Rondaan Berkomputer (CoPSbox) di Gelugor, di sini pagi ini.

Ahad lalu, Adelina yang sudah empat tahun bekerja sebagai pembantu rumah di negeri ini meninggal dunia selepas sehari dimasukkan ke HBM kerana kecederaan pada bahagian kepala, tangan dan kaki dipercayai akibat didera majikannya.

Mangsa sebelum itu diselamatkan selepas orang awam yang membuat laporan polis kerana melihatnya dalam keadaan lemah dibiarkan di luar sebuah rumah di Kota Permai 2, Bukit Mertajam di sini.

Susulan itu, polis menahan seorang wanita berumur 60 tahun yang merupakan majikannya serta dua anaknya masing-masing lelaki dan perempuan berusia 36 dan 39 tahun untuk siasatan lanjut.

Dalam perkembangan berkaitan, wakil Pejabat Konsulat Indonesia di Pulau Pinang, Neni Kurniati berkata, mayat Adelina dijangka dibawa pulang ke kampung halamannya di Nusa Tenggara Timur malam ini.

Tambahnya, ahli keluarga mangsa tidak dapat hadir ke Pulau Pinang bagi urusan menuntut mayat sebaliknya hanya menunggu di kampung halaman mereka untuk urusan pengebumian.