Home Utama Penceramah Youtube tiada tauliah beri tafsiran salah – TPM

Penceramah Youtube tiada tauliah beri tafsiran salah – TPM

Ahmad Zahid Hamidi memberi cenderahati kepada Pengurus Penerbit Karya Bestarai Sdn Bhd, Mad Yani Abd Manaf pada Majlis Pelancaran Garis Panduan Penulisan dan Penerbitan Teks Hadith dan Wacana Kawal Selia Hadith Siri II di Kompleks Perbadanan, Putrajaya. foto AQIRA AZEMI, 15 FEBRUARI 2018

PUTRAJAYA – Kemunculan penceramah-penceramah yang tidak bertauliah dan menjadi ikutan di media sosial dibimbangi akan mewujudkan perpecahan dalam kalangan umat Islam.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, penggunaan hadis oleh penceramah-penceramah terbabit dengan memberikan tafsiran salah dan dicampur dengan lawak jenaka boleh merosakkan imej Islam.

“Tiba-tiba saya tidak mahu menyebut nama, ada seorang daripada kumpulan rock menjadi penceramah.
Penceramah sedemikian merujuk kepada sumber hukum tetapi tafsirannya berbeza.

“Pengikutnya ramai dan taksub. Ini akan berlakunya amalan-amalan yang salah. Penceramah secara fizikal masih boleh ditegur mungkin tauliahnya boleh ditarik. Bagaimana jika Youtube tersebar dan ditonton oleh jutaan pengikut-pengikutnya.

“Akhirnya juga (pengikut) taksub, yang mana ceramah diadakan diikuti,” katanya ketika berucap merasmikan Pelancaran Garis Panduan Penulisan dan Penerbitan Teks Hadis dan Wacana Kawal Selia Hadis siri II, di sini hari ini.

Lantaran itu, Zahid menyarankan agar Penyelaras Panduan Hadis KDN membuat garis panduan melalui hadis terbaru dan sahih.

Ia boleh dilakukan menggunakan bidang atau kategori ibadah terutama kepada mereka yang menekuni hadis itu agar tidak terkeliru dan terpesong dengan tafsiran yang salah.

Pada majlis itu, Zahid melancarkan garis panduan hadis tersebut yang dibangunkan oleh Jawatankuasa Penyemakan dan Penilaian Hadis (Lajnah Tahqiq Hadis), Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Garis panduan itu disediakan selaras dengan matlamat penubuhan lajnah berkenaan dalam mengawal selia penulisan hadis di dalam penerbitan khususnya mengekang penyebaran hadis palsu (mawdhu).

Garis panduan itu akan menjadi rujukan penulis, pengarang dan penerbit teks dalam menyemak, menilai, memetik dan merakamkan hadis dalam sebarang penulisan serta bermatlamat untuk mendidik masyarakat dengan budaya ‘semak hadis sebelum sebar’ bagi mengelak tersalah menyebarkan hadis-hadis palsu secara tidak sengaja. – MalaysiaGazette