Home Utama Mufti Wilayah gesa FMT, MMO perbetul tajuk berita

Mufti Wilayah gesa FMT, MMO perbetul tajuk berita

KUALA LUMPUR – Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menggesa dua buah laman portal memperbetulkan tajuk laporan berhubung kunjungan balas komuniti transgender ke pejabat berkenaan baru-baru ini.

Ia bagi mengelakkan daripada berlakunya salah faham dalam kalangan orang ramai terhadap Mufti Wilayah Persekutuan berhubung perkara itu, kata pejabat berkenaan menerusi kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, dua buah laman portal tersebut iaitu Free Malaysia Today (FMT) dan Malay Mail Online (MMO) telah menggunakan fatwa yang dikeluarkan pada 1982 dalam laporan tersebut.

“Ia bukanlah satu fatwa dari sudut perundangan, tetapi ianya adalah keputusan hukum Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia atau kini dikenali sebagai Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI). Ia membawa implikasi berbeza dalam sistem perundangan di Malaysia.

“Transgender dan khunsa (interseks) adalah jauh berbeza dari sudut istilah dan pemahamannya. Begitu juga hukumnya dari sudut agama.

“Normalisasi istilah transgender yang disamakan dengan khunsa boleh membawa salah faham masyarakat dalam hal ini. Tindakan MMO dan FMT membawakan tajuk sebegitu, membuka ruang kepada salah faham kepada tujuan sebenar Mufti Wilayah Persekutuan dalam isu ini,” tulis kenyataan itu.

Sehubungan itu, orang ramai diminta agar mendapatkan maklumat sebenar menerusi Facebook, Instagram, Telegram dan Twitter rasmi Mufti Wilayah Persekutuan selain web www.muftiwp.gov.my. – MalaysiaGazette