Home Politik Politik kebencian, perpecahan tak ke mana – Ka Siong

Politik kebencian, perpecahan tak ke mana – Ka Siong

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (tengah) bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor (empat kiri) diiringi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (tiga kanan), Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai (tiga kiri) dan timbalannya, Datuk Seri Wee Ka Siong melakukan 'yee sang' pada Majlis Rumah Terbuka MCA sempena sambutan Tahun Baru Cina di Wisma MCA, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 16 FEBRUARI 2018

KUALA LUMPUR – Pendekatan politik kebencian dan perpecahan yang ditonjolkan pemimpin pembangkang dilihat hanya menyebabkan pakatan pembangkang itu semakin tidak relevan di negara ini.

Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, rakyat tidak mudah terpedaya dengan dakyah pembangkang kerana pengundi semakin celik dan semakin matang menilai.

“Rakyat Malaysia selalu sebut, bersatu kita teguh, bercerai kita roboh, kalau kita menggunakan teknik untuk memecahbelahkan rakyat, kita tak ke mana kerana rakyat kita matang.

“Kita melakukan sesuatu (menarik sokongan) secara semulajadi,” katanya ketika ditemui di Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina di Dewan San Choon, Wisma MCA hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein semalam berhubung usaha pembangkang meraih sokongan dalam kalangan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan menimbulkan kebencian rakyat dengan memanipulasi serta menimbulkan isu-isu lama.

Ka Siong juga berkata, kehadiran orang ramai dalam kalangan orang Melayu dan India ke rumah terbuka anjuran MCA hari ini menunjukkan semangat muhibbah semakin menebal dan perpaduan nasional semakin kukuh.

“Kita dapat melihat rakyat dari setiap pelusuk negara datang ke sini, bukan saja bersalaman tapi bagaimana mereka menyambut Tahun Baharu Cina ini dalam satu semangat cintakan negara dan keamanan.

“Ini adalah sambutan paling meriah apabila ramai pengunjung dalam kalangan bukan Cina, kita melihat ini adalah satu petanda baik dan tidak kurang juga bagi pemimpin-pemimpin MCA daripada seluruh pelusuk negara,” katanya.

Katanya lagi, kemeriahan sambutan perayaan itu merupakan satu petanda baik kepada kemakmuran negara pada tahun ini.

“Tahun ini Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri turut hadir, nampaknya kita dapat menyambut Tahun Baharu Cina dalam suasana aman dan inilah keunikan.

“Negara pula mencapai pertumbuhan 5.9 peratus dan kita berharap dapat kekalkan tahap pembangunan ini dari segi pembangunan KDNK.

“Ia perlu diteruskan supaya ada pembangunan yang mampan serta dapat mensejahterakan rakyat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette