Home Politik Saya sedia ‘berentap’ dengan sesiapa saja – Ka Siong

Saya sedia ‘berentap’ dengan sesiapa saja – Ka Siong

Wee Ka Siong

KUALA LUMPURĀ – “Saya sudah buat keputusan untuk bertanding di kawasan saya dan bersedia berentap dengan sesiapa sahaja,” ujar Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, berdasarkan kerja keras dan sentiasa turun padang di Ayer Hitam sejak Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu, beliau yakin pengundi boleh menilai kesungguhannya membela nasib rakyat.

“Dengan rendah diri saya menawarkan diri untuk bertanding di kawasan ini, dan bagi saya sudah tiga penggal di kawasan itu, saya telah melakukan banyak kerja, rakyat atau pengundi di situ dapat menilai.

“Saya berharap rakyat dapat memberikan mendapat mandat baharu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) nanti,” katanya ketika ditemui diĀ Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina di Dewan San Choon, Wisma MCA hari ini.

Pada PRU-13 lalu, Ka Siong memenangi kerusi P148 Parlimen Ayer Hitam, Johor menewaskan pencabarnya, Hu Pang Chaw selaku calon ‘bidang terjun’ mewakili Pas dengan majoriti 7,310 undi.

Ka Siong merupakan penyandang kerusi Parlimen Ayer Hitam sejak tiga penggal lalu iaitu PRU-12 pada tahun 2008 mengalahkan calon Pas dengan majoriti 13,909 undi dan PRU-11 pada tahun 2004 dengan menewaskan calon Pas dengan 15,763 undi.

Parlimen Ayer Hitam mempunyai peratusan pengundi Melayu sebanyak 56 peratus, diikuti Cina (38 peratus) dan India (4 peratus). – MalaysiaGazette