Home Politik Wanita Sungai Besar teruja kalau Shahrizat jadi calon

Wanita Sungai Besar teruja kalau Shahrizat jadi calon

Pengundi Parlimen Sg Besar, Noor Shahidah Mohd Zaidi, 25, ketika ditemui MalaysiaGazette di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Desas-desus mengatakan Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil bakal bertanding di kerusi Parlimen Sungai Besar semakin hangat diperkatakan khususnya pengundi di kawasan luar bandar itu.

Tinjauan MalaysiaGazette menemui pengundi Parlimen Sungai Besar yang kini menetap di ibu negara baru-baru ini mendapati kebanyakan mereka berasa teruja apabila mendapat tahu tokoh wanita UMNO itu bersedia bertanding di Parlimen Sungai Besar pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) akan datang.

Menurut Noor Shahidah Mohd Zaidi, 25, yang kini menetap di Bandar Baru Wangsa Maju berkata, dia memang menanti-nantikan seorang calon wanita untuk menjadi wakil rakyat di kawasan itu.

“Sudah tentu boleh terima, sebab saya wanita, dia sebagai Ketua Pergerakan Wanita UMNO dapat membela nasib wanita di sana terutama nasib ibu-ibu tunggal.

“Saya memilih beliau menjadi wakil rakyat di sana sebab kita jarang ada Ketua Wanita, semuanya lelaki (wakil rakyat),” katanya.

Noor Shahidah lebih mengutamakan wakil rakyat wanita kerana mudah untuk mengadu dan berkongsi masalah sekiranya memerlukan bantuan tanpa wujud sempadan.

“Bila ada wakil rakyat wanita ini, kita rasa selamat, dia boleh faham kita, dan dia boleh bela nasib ibu tunggal, wanita, remaja, mana-mana ibu tunggal yang tiada kerja, beliau boleh membantu dari segi memberi peluang pekerjaan,” katanya.

“Kalau ada apa-apa masalah kita boleh terus rujuk kepada beliau. Tak mungkin kita nak cerita semuanya kepada wakil rakyat lelaki, bila ada wakil rakyat wanita ini, kita boleh luahkan semua masalah wanita tanpa segan silu,” katanya.

Dia juga tidak ketinggalan memberi undi kepada calon wanita itu pada PRU-14 nanti kerana Shahrizat merupakan satu-satunya calon yang boleh dilantik menjadi menteri penuh jika terpilih sebagai wakil rakyat di kawasan itu.

“Itu paling seronok buat kami kaum wanita bila wakil rakyat kita jadi menteri penuh, ia satu kelebihan kepada kaum wanita

“Kalau Tan Sri Shahrizat dapat jadi calon di sana, saya harap beliau dapat membantu dan memberi impak baharu kepada Sungai Besar untuk tahun ini dan tahun-tahun akan datang dan bawa perubahan untuk Sg Besar

“Saya akan balik mengundi untuk Tan Sri Shahrizat,” katanya.

Pengundi Parlimen Sungai Besar, Norendrina Nazraini Abdullah, 26, dari Taman Wahyu ketika ditemui MalaysiaGazette di UTC Sentul, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sementara itu, Norendrina Nazraini Abdullah, 26, dari Taman Wahyu pula menyambut baik tindakan Ketua UMNO Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunos yang memberi laluan kepada Shahrizat menjadi calon di kawasan itu.

“Saya sebagai wanita, sudah tentu saya mesti sokong beliau (sShahrizat) untuk mewakili Sungai Besar. Beliau juga sebelum ini banyak membantu kaum wanita.

“Saya setuju sebab wanita lebih memahami pengundi wanita sendiri berbanding wakil rakyat lelaki,” katanya.

Norendrina Nazraini berkata lagi, Shahrizat merupakan seorang pemimpin wanita yang berpengaruh dan berpotensi menjadi menteri penuh seperti sebelum ini di Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Dia mempunyai keyakinan tinggi terhadap Shahrizat yang mampu membawa perubahan dan pembangunan fikizal di kawasan luar bandar itu dengan lebih pesat seperti kawasan-kawasan lain di Selangor.

“Sekarang ini kita lihat Sungai Besar masih ketinggalan dari segi pembangunan, banyak infastruktur yang perlu diperbaiki lagi. Saya mahu Shahrizat dapat mewujudkan tempat-tempat menarik (peranginan).

“Sekiranya Tan Sri Shahrizat terpilih menjadi calon BN di Parlimen Sg Besar, saya yakin Shahrizat akan membawa pembangunan yang pesat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.