Home Dunia Bangladesh serah senarai nama penghantaran pulang Rohingya

Bangladesh serah senarai nama penghantaran pulang Rohingya

Pelarian Rohingya melalui kawasan berselut di sempadan Myanmar-Bangladesh di Teknaf pada tahun lalu selepas berlaku keganasan di Rakhine oleh tentera Myanmar. foto Agensi

DHAKA – Menteri Kabinet Bangladesh menyerahkan senarai 8,032 nama pelarian Rohingya kepada rakan sejawatnya dari Myanmar bagi memulakan penghantaran pulang minoriti Islam di bawah perjanjian kedua-dua negara yang dipersetujui pada November lalu.

Menteri Dalam Negeri Bangladesh, Asaduzzaman Khan berkata, senarai tersebut merangkumi 1,673 keluarga etnik Rohingya. Beliau tidak menerangkan bagaimana nama tersebut dipilih, lapor AP.

Kira-kira 700,000 etnik Rohingya melarikan diri daripada keganasan yang dilakukan tentera Myanmar sejak Ogos lalu dan mereka mendiami di kem-kem pelarian di Bangladesh.

Pada asalnya kedua-dua negara bersetuju untuk melaksanakan penghantaran pulang pada bulan lalu namun ia ditunda berikutan kekhuatiran pekerja-pekerja bantuan dan etnik Rohingya bahawa mereka akan dipaksa pulang dan berhadapan keadaan yang tidak selamat di Myanmar.

Beratus-ratus etnik Rohingya dilaporkan terbunuh dalam keganasan itu dan banyak rumah dan kampung dibakar.

Pada Selasa lalu, Ketua Pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Filippo Grandi memberitahu Majlis Keselamatan bahawa adalah tidak betul untuk etnik Rohingya pulang secara sukarela kerana Myanmar tidak menyatakan pengecualian dan penafian hak mereka.

Grandi berkata, etnik Rohingya masih melarikan diri dari Myanmar dan beribu-ribu orang dijangka meninggalkan negara itu.

Khan berkata, beliau menyerahkan senarai itu kepada Menteri Dalam Negeri Myanmar, Leftenan Jeneral Kyaw Swe yang melawat ibu negara Bangladesh, Dhaka untuk membincangkan penghantaran pulang dan isu-isu sempadan.

“Myanmar menerima senarai itu dan mereka meminta bantuan kami untuk melakukannya,” kata Khan kepada wartawan, Kyaw Swe tidak bercakap dengan pemberita.

Khan berkata, pegawai-pegawai di Myanmar memilih 6,500 orang untuk dihantar pulang pada fasa awal Selasa depan. Beliau tidak menyatakan bila penghantaran pulang itu akan bermula.

“Mereka berkata mereka akan mengambil semua dalam tiga fasa. Tiada jangka masa spesifik diputuskan dan ia akan ditentukan bila mereka pulang,” katanya.

Khan berkata, Bangladesh menyatakan keinginannya mahu keadaan yang selamat dan infrastruktur yang baik diberikan kepada pelarian itu apabila mereka pulang.

Semalam, jurucakap presiden, Joynal Abedin memberitahu, Kyaw Swe memaklumkan kepada Presiden Bangladesh, Abdul Hamid bahawa Myanmar bersedia menerima kembali mereka yang kehilangan kediaman.

Abedin juga memetik Kyaw Swe berkata Myanmar akan melaksanakan cadangan suruhanjaya yang diketuai bekas Setiausaha Agung PBB, Kofi Annan untuk meningkatkan taraf negeri Rakhine di mana eknik Rohingga tinggal. – Agensi