KUALA LUMPUR – Langkah sekumpulan bekas ahli yang mahu berhimpun untuk mendesak tindakan diambil terhadap Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mula menimbulkan rasa cemas parti tersebut.
Ketua Penerangannya, Datuk Kamaruddin Mohd Noor nyata tidak senang dengan tindakan sekumpulan bekas ahli tersebut untuk bertemu dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) dan mempertikaikan tindakan mereka kerana sudah tidak lagi menjadi ahli lagi.
“Kenapa mereka yang bukan lagi ahli Bersatu menyibuk tentang urusan parti ini?
“Kalau bekas (ahli Bersatu), kenapa masih menyibuk? Kalau masih ada masalah dengan Bersatu, datang bertemu dengan kita dan bukan gunakan cara berhimpun nak mendesak ROS batalkan kami,” beliau dipetik berkata dalam Sinar Harian.
Terdahulu, bekas Exco Pemuda PPBM, Muhammad Hafiz Azhar merancang untuk mengadakan himpunan aman pada 22 Februari ini bagi mendesak tindakan lebih tegas ROS terhadap parti itu.
Menurut Muhammad Hafiz, himpunan tersebut akan tetap diteruskan berikutan masih belum ada sebarang tindakan terhadap parti itu yang secara terang-terangan melanggar perlembagaan parti sendiri. – MalaysiaGazette