SEPANG – Barisan Nasional Selangor berjanji akan menyelesaikan isu perumahan kos rendah yang dihadapi kira-kira 100 keluarga India dari tiga tanah ladang kelapa sawit di Sungai Pelek sejak 30 tahun lalu.
Tiga ladang tersebut merupakan Ladang Fermanagh, Ladang Sungai Rawang dan Sungai Merbau yang terletak di bawah Dewan Undangan Negeri Tanjung Sepat.
Ketua Penerangannya, Datuk Dr. Mohamed Satim Diman berkata, tiga jenerasi keturunan mereka telah tinggal di ladang itu dan kini berdepan dengan pengusiran selepas bersara.
“Malah saya difahamkan, mereka tidak boleh menduduki rumah percuma yang disediakan pengurusan ladang itu sekiranya mana-mana ahli keluarga tidak lagi bekerja di ladang itu.
“Ini amat menyedihkan dan itulah yang dihadapi mereka dengan pendapatan bulanan sekadar RM700 selama 30 tahun lalu.
“Saya sudah memasukkan perkara ini sebagai manifesto utama BN DUN Tanjung Sepat, Selangor menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 untuk diselesaikan segera,” katanya selepas meramsikan program Jelajah Kasih Negeriku Selangor di Ladang Fermanagh di sini, hari ini.
Terdahulu beliau melawat dan menghulurkan sumbangan kepada warga emas, Anjalai Arumugham, 71, yang lumpuh akibat strok yang dialaminya sejak beberapa tahun lalu.
Tambahnya dalam Kementerian Kesejahteraan Bandar Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), terdapat program khas yang boleh menyediakan rumah mampu milik untuk penduduk India di ladang sawit.
Namun katanya yang menjadi kekalutan kerajaan PKR Selangor adalah keengganan bekerjasama dengan kerajaan persekutuan untuk menangani masalah perumahan penduduk India di kawasan ladang.
“Bukan KPKT tidak mahu membantu, tetapi kerajaan negeri tidak mahu bekerjasama memberikan tanah yang ada di bawah kuasa negerinya.
“Kalau dia sanggup bekerjasama dengan Persekutuan tidak ada masalah dan isu pembinaan kos rendah boleh ditangani segera sebab BN berpengalaman baik dalam membangunkan rumah kos rendah dna mampu milik untuk masyarakat di ladang semasa pemerintahannya sebelum 2008,” ujarnya.
Malah beliau turut mempersoalkan kerajaan negeri apa salahnya jika membeli 10 ekar atau 20 ekar tanah itu dan membina rumah kos rendah.
“Ia merupakan kuarters sementara yang disediakan untuk keluarga pekerja ladang berketurunan India di sini dan mereka perlu mengosongkannya jika tidak bekerja di situ.
“KPKT jika dibenarkan, akan membeli tanah itu dengan premium rendah dan membina rumah mampu milik yang diperlukan.
“Saya tegaskan di sini kalau esok kerajaan BN memerintah, kita akan membeli tanah ini segera dan akan menyelesaikan menyediakan rumah kos rendah mampu milik untuk semua keluarga India di ladang ini. Ini janji dan keutamaan saya nanti,” tegasnya. – MalaysiaGazette
cukup dah dua penggal pr@ph merintah..ini kali kita try bn pulak..