KUALA LUMPUR – Baru-baru ini industri hiburan kita menerima buah tangan daripada penyanyi tanah air Dj Aku Ash dan Kilafairy apabila mengeluarkan single terbaru mereka.
Bukan setakat mereka berdua sahaja, malah lagu ‘Put The Word In’ yang klip videonya baru disiarkan di Youtubpada 14 Februari lalu juga menampilkan artis antarabangsa iaitu Sean Kingston.
Siapa tidak kenal dengan Sean Kingston yang merupakan penyanyi, penulis lagu, rapper Jamaican-Amerika popular di persada Hollywood.
Kilafairy juga cukup terkenal di dalam industri seni negara ini.
Menyedari namanya tidak gah seperti kedua-dua artis itu, Dj Aku Ash yang memulakan kerjayanya dengan mengalunan muzik Dj mengakui menggunakan Sean Kingston sebagai ‘batu loncatan’ untuk menaikkan namanya agar terus dikenali dan mendapat tempat dalam industri seni tanah air.
“Saya gunakan Sean Kingston untuk orang kenal saya sebab sebelum ini mungkin tidak menonjol lagi,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemubual baru-baru ini.
Mahu terus mara dalam bidang seni, Dj Aku Ash, 33 yang berasal daripada Melaka ini bukan setakat mengalunkan muzik berunsurkan R&B malah mahu dikenali selepas ini sebagai pencipta lagu juga.
Namun kali ini dia yang sudah berkecimpung dalam arena Dj dan berpengalaman menghasilkan lagu lebih daripada 10 tahun kini memilih untuk menyanyikan sendiri lagu yang diciptanya.
“Daripada dulu dah mula buat lagu, tapi kali ini buat untuk diri sendiri pula.
“Saya datang ke KL baru buat lagu, saya buat Dj dalam 16 tahun. Empat tahun pertama saya fokus untuk Dj lepas tu belajar buat lagu. Sekarang dah jadi macam luahkan apa yang ada di otak ke keyboard
“Selepas ini saya nak buat benda ni (buat lagu dan menyanyi) lebih lama lagi saya nak jadikan ini kerjaya saya. Kadang nak bekerjasama buat lagu untuk orang nyanyi ada masalah kekangan masa, jadi saya nyanyi dan feat sahaja lah,” tambahnya.
Mungkin ramai yang tidak tahu anak bongsu daripada tiga orang adik-beradik ini memiliki segulung ijazah dalam pengkhususan Pengurusan Sumber Manusia (HRM) graduan Universiti Multimedia.
Dj Aku Ash juga meluahkan hasratnya untuk bekerjasama dengan lebih ramai lagi penyanyi tempatan agar lagunya juga akan mendapat tempat sebagai salah satu finalis Anugerah Juara Lagu (AJL) pada masa akan datang.
“Saya nak keluarkan album dan bekerjasama dengan lebih ramai artis tempatan lagi. Ada juga penyanyi tempatan yang saya dah lama nak bekerjasama tapi sebelum ini kan setakat produser sahaja, jadi kalau boleh mahu menyanyi juga,” katanya. -MalaysiaGazette