Home Utama Video CNY Namawee: PDRM, SKMM buka kertas siasatan

Video CNY Namawee: PDRM, SKMM buka kertas siasatan

Mohamad Fuzi Harun

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan berhubung klip video Tahun Baru Cina oleh penyanyi kontroversi, Wee Meng Che atau lebih dikenali sebagai Namawee yang tersebar di laman sosial selepas dimuat naik di Youtube baru-baru ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, PDRM sedang meneliti kes tersebut dan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Kita kena tahu yang Namawee ini tidak ada dalam negara, dia berada di luar negara jadi kita memang memerlukan bantuan SKMM untuk jalankan siasatan,” katanya selapas majlis pelancaran Program Bermotosikal Rayuan Tabung Amanah Warisan Polis (TAWP) sempena Hari Polis Ke-211.

Sebelum ini, Namewee memuat naik video berdurasi 3:15 saat di laman Youtube menampilkan dirinya berlatar belakangkan beberapa penari berbaju hitam memakai topeng anjing.

Difahamkan, video tersebut berkisarkan perbezaan anjing menyalak di setiap negara seperti Amerika Syarikat, India, Korea, Jepun dan Malaysia.

Terkini video itu ditonton 616,809 pelayar internet.

Kira-kira dua tahun lalu, Namawee pernah direman selama empat hari bagi membantu siasatan kes klip video di sebuah masjid di Tanjung Bungah, Pulau Pinang, yang didakwa menghina Islam.

Mohamad Fuzi dalam pada itu berkata tindakan Namawee itu disiasat di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. -MalaysiaGazette