Home Utama Sasar libatkan 7% kaum India dalam ATM

Sasar libatkan 7% kaum India dalam ATM

Datuk Seri S. Subramaniam

PUTRAJAYA – Jawatankuasa Khas Kabinet Masyarakat India (CCIC) meletakkan sasaran tujuh peratus penglibatan kaum India dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berbanding 1.6 peratus pada masa ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif CCIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

Dr Subramaniam yang juga Presiden MIC berkata, sasaran itu selaras dengan pengumuman Bajet 2018 yang turut menyasarkan tujuh peratus penyertaan kaum India dalam perkhidmatan awam.

“Kita telah mendapat kerjasama baik daripada ATM dan pada Mac nanti, kita akan melancarkan program khusus bersama mereka bagi pengambilan tentera dalam kalangan masyarakat India,” katanya yang ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif CCIC bagi Malaysian Indian Blueprint di sini hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kesihatan berkata melalui jawatakuasa yang diketuai Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk M. Saravanan, satu program yang dipanggil ‘risk-assessment tool’ (alat penilaian risiko) akan dilaksanakan bagi melihat punca murid-murid India berisiko tinggi terlibat dalam masalah sosial.

“Selepas kita mengenal pasti kumpulan ini dan apa yang mendorong mereka untuk terlibat dengan gejala sosial tersebut, kita akan menjalankan program intervensi untuk memastikan mereka tidak lagi terbabit dalam masalah sedemikian,” katanya.

Dr Subramaniam berkata, mesyuarat hari ini juga memutuskan jawatankuasa khusus yang dipimpin Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Dr Loga Bala Mohan akan ditubuhkan bagi menangani isu perumahan khusus untuk masyarakat India berpendapatan rendah.

“Melalui kerjasama dengan kerajaan pusat dan negeri, kita mahu memastikan jumlah perumahan ditetapkan sebagai kuota untuk masyarakat India dan seterusnya menunaikan keperluan perumahan kepada golongan miskin dalam kalangan kaum ini.

“Jika boleh, kita mahu setiap projek di semua negeri menetapkan 10 peratus daripada jumlah unit rumah yang dibina untuk kaum India,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, setakat ini Amanah Saham 1Malaysia (AS1M) yang ditawarkan khusus untuk kaum India bermula 29 Jan lalu telah meraih langganan sebanyak 317 juta unit daripada 1.5 bilion unit tambahan yang diumumkan.

“Jumlah ini melibatkan lebih kurang 41,000 pelabur dan kita akan meningkatkan program kesedaran dalam kalangan masyarakat (untuk melanggan AS1M) ini kerana jumlah yang diagihkan adalah 1.5 bilion unit,” katanya.– MalaysiaGazette

 

+ posts