Home Politik Skandal tanah Ijok, saya ada bukti lagi nak serah SPRM – Chegubard

Skandal tanah Ijok, saya ada bukti lagi nak serah SPRM – Chegubard

Badrul Hisham Shaharin atau CheguBard
Badrul Hisham Shaharin atau CheguBard

KUALA LUMPUR – Beberapa bukti dan dokumen tambahan melibatkan salah guna kuasa Kerajaan Selangor dalam skandal tanah peneroka Ijok akan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kata pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Badrul Hisham Shaharin.

Badrul Hisham atau dikenali Chegubard mendakwa memiliki bukti tambahan melibatkan sebuah syarikat guaman yang mempunyai kaitan dengan Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilantik untuk menyelesaikan kes tersebut diluar mahkamah.

“Rabu ini saya akan dedahkan maklumat baharu dengan isu tanah di Ijok, saya antara orang pertama buat laporan dan saya mempunyai banyak data maklumat dalam kes Ijok ini.

“Saya akan panggil satu sidang media untuk memberikan taklimat mengenai skandal Ijok dan akan menyerahkan bukti tambahan melibatkan salah guna kuasa Kerajaan Selangor,” katanya kepada wartawan semasa ditemui selepas membuat laporan polis di Dang Wangi hari ini.

Badrul Hisham mempertikai kewajaran kerajaan Selangor dibawah pentadbiran Azmin yang membayar kepada dua syarikat yang gagal menunaikan tanggungjawab mereka membangunkan kawasan di Ijok tersebut, malah dibayar pula dengan sejumlah pampasan yang banyak.

“Kenapa perlu pulangkan wang kepada syarikat yang gagal dan kaut untung atas kegagalan mereka,” soal beliau.

Dalam pada itu, beliau turut mencabar Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan yang mempunyai kaitan dalam dua syarikat terlibat dalam skandal tanah Ijok untuk turut menyamannya susulan amarannya baru-baru ini yang mahu menyaman Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan kerana didakwa memfitnahnya dalam pertikaian tanah tersebut.

“Kepada Khairuddin, saya cabar dia untuk saman saya sekali… bukan hanya saman Rahman Dahlan sahaja. Saman saya juga,” kata beliau lagi.

Terdahulu, Abdul Rahman menggesa Azmin untuk menjelaskan soal tanah bernilai RM1.18 bilion di Ijok kepada dua syarikat sebelum kes didengar di Mahkamah Persekutuan.

Dua syarikat itu ialah Mujur Zaman Sdn Bhd dan LBCDN Develoment Sdn Bhd yang mana Khairuddin mempunyai jawatan tinggi dalam syarikat itu.

Badrul Hisham berkata, skandal tanah Ijok akan menjadi punca utama kepada kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan di Selangor jika mereka tidak bertegas dalam menangani isu tersebut.

“Isu ini akan jadi turning over kejatuhan Azmin dan Pakatan di Selangor jika mereka tidak bertindak,”ujarnya. – MalaysiaGazette