KUALA LUMPUR – Telekom Malaysia Berhad (TM) mengumumkan perlantikan Datuk Mohd Rais Azhar sebagai Ketua Pegawai Teknologi dan Inovasi (CTIO) yang baharu berkuatkuasa 18 Februari 2018.
Beliau menggantikan Datuk Rafaai Samsi yang bersara 14 Februari lalu.
Sebelum ini, Mohd Rais merupakan Timbalan CTIO.
Selain peranan beliau sebagai CTIO yang baharu, Mohd Rais kekal sebagai Ketua Pegawai Keselamatan Maklumat TM, jawatan yang telah beliau pegang sejak tahun 2017.
Mohd Rais menyertai TM pada tahun 1988 dan tahun 2018 merupakan tahun ke-30 beliau bersama syarikat telekomunikasi.
Sebagai CTIO TM, beliau akan bertanggungjawab terhadap Rangkaian, Teknologi Maklumat dan penyampaian, penyediaan dan jaminan teknikal untuk Kumpulan TM, selain merangka strategi, merumus, mengarah dan memimpin pelaksanaan dan operasi organisasi Keselamatan Maklumat.
Ia merangkumi Strategi Keselamatan Maklumat, Reka Bentuk, Kawal selia, Risiko, Pematuhan, Pembangunan, Ancaman Pintar dan Operasi bagi memastikan Kerahsiaan, Integriti dan Ketersediaan aset maklumat Kumpulan TM sentiasa dilindungi. – MalaysiaGazette