Home Nasional Tol Batu Tiga akan diroboh bulan depan

Tol Batu Tiga akan diroboh bulan depan

Seorang penyokong Barisan Nasional memegang placard yang tertera " Terima Kasih Perdana Menteri" ketika berkumpul di perkarangan Plaza Tol Sungai Rasau beberapa minit sebelum perlaksanaan Pemansuhan Kutipan Tol Sungai Rasau dan Tol Batu Tiga menjelang detik 12.01 di Shah Alam. foto SAFWAN MANSOR, 31 DISEMBER 2017

PARIT BUNTAR – Kerja meroboh struktur binaan Plaza Tol Batu Tiga, Shah Alam, Selangor, akan selesai selewat-lewatnya pada 28 Mac ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, perkara itu dimaklumkan oleh PLUS Malaysia Berhad kepada kementerian.

Ketika ini, katanya, proses pengalihan aset yang antara lain membabitkan peralatan tol dan papan tanda giat dijalankan sebelum perobohan struktur fizikal bermula.

“Sekarang ini, pihak PLUS sedang dalam proses mengalihkan aset mereka dari kawasan itu dan apabila telah sempurna, barulah kerja meroboh struktur bangunan akan dapat dibuat.

“Kita turut dimaklumkan bahawa program pengurusan trafik akan dijalankan bagi memastikan aliran trafik tidak terganggu ketika kerja perobohandilaksanakan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Hospital Parit Buntar, di sini, hari ini.

Sebelum ini, banyak pihak terutama pengguna lebuh raya mendesak plaza tol itu dirobohkan selepas berlaku beberapa kemalangan yang meragut nyawa.

Beliau berkata, pihaknya juga berharap pengguna lebuh raya itu lebih berwaspada dan tidak memandu dalam keadaan berbahaya, sekali gus mengelak daripada berlaku kesesakan dan kemalangan yang boleh meragut nyawa.

“Saya menyeru pengguna jalan raya supaya berhati-hati sebab akhirnya yang menentukan kita selamat atau tidak di jalan raya adalah diri kita sendiri.

“Kita kena pandu secara berhemah dan pastikan berjaga-jaga untuk elakkan sebarang kemalangan tidak diingini daripada berlaku,” katanya. – Bernama