Home Nasional Bapa, anak lelaki didakwa bekal susu rumusan guna cap dagangan palsu

Bapa, anak lelaki didakwa bekal susu rumusan guna cap dagangan palsu

Tertuduh yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas pertuduhan membekalkan susu rumusan bayi menggunakan cap dagangan palsu.

JOHOR BAHRU – Seorang bapa dan anak lelaki serta adik iparnya didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membekalkan susu rumusan bayi menggunakan cap dagangan palsu pada tahun lalu.

Tertuduh, Yap Kai Chai, 59, anak lelaki, Yap Chang Hong, 26, dan adik ipar, Ling Mei Nar, 42, bagaimanapun tidak mengaku salah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Jailani Rahman.

Dalam kes tersebut, Kai Chai menghadapi tiga pertuduhan masing-masing dua kes bersama anak lelakinya dan satu kes bersama adik iparnya.

Bagi pertuduhan pertama, Kai Chai dan Mei Nar sebagai rakan kongsi perniagaan TCM Yongtai Lian didakwa menawarkan pembekalan seunit susu rumusan bayi Enfalac A+ Step 1 (1.8 kg) yang baginya suatu perihal dagangan palsu digunakan seolah-olah ia adalah cap dagangan yang berdaftar ‘Enfalac’.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di premis kedai TCM Yongtai Lian di Jalan Utama 34, Taman Mutiara Rini, Skudai di sini, kira-kira pada 1 petang, 7 Disember 2017.

Pertuduhan kedua pula, Kai Chai dan Chang Hong sebagai pekongsi perniagaan Kedai Ubat dan Membeli-belah Yong Thye Lian didakwa melakukan perbuatan sama di kedai mereka di Jalan Bestari 4/2, Taman Nusa Bestari, Skudai di sini, kira-kira pada 2 petang, hari yang sama.

Bagi dua pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 8 (2)(b) Akta Perihal Dagangan 2011 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 8 (2)(B) akta sama dan jika disabit kesalahan boleh didenda sehingga RM10,000 bagi setiap barangan dagangan atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan ketiga, Kai Chai dan Chang Honh didakwa berada dalam kawalan mereka untuk pembekalan 208 unit susu rumusan bayi itu di sebuah lagi kedai perniagaan di Jalan Orkid 17, Taman Seri Orkid, pada 4.40 petang, hari yang sama.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 8 (2)(c) Akta Perihal Dagangan 2011 yang boleh dihukum dengan Seksyen 8 (2)(B) akta sama.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Lydia Salleh, manakala semua tertuduh diwakili peguam C S Lim.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi proses representasi pada 23 Mac ini. – MalaysiaGazette.