KUALA LUMPUR – Susulan pelancaran tabung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) oleh Tun Dr Mahathir Mohamad pada minggu lalu, Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos hari ini berbesar hati ‘memberi sumbangan RM7.035 billion’ kepada parti serpihan UMNO itu.
Jamal berkata, selepas ini Mahathir tidak perlu lagi merayu kepada orang ramai untuk meminta derma kerana ‘sumbangan’ yang diberikan hari ini sudah mencukupi untuk membiayai kerja-kerja politik PPBM menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
“Saya sebagai rakyat Malaysia terpanggil untuk memberi sumbangan kepada parti Bunga ini iaitu PPBM dengan jumlah AS$1.8 bilion dan cek ini saya akan depositkan ke akaun parti itu, ini adalah cek peribadi saya.
“Saya nak beritahu kepada Tun Mahathir, Datuk Seri Mukhriz dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, tak payah lagi nak minta-minta kepada rakyat Malaysia untuk memberikan sumbangan kepada parti Bunga ini.
“Ini kerana saya telah menyumbang lebih RM7.035 bilion,” katanya pada sidang media di pekarangan Bank CIMB, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, hari ini.
Beliau mengulas rakaman video klip Mahathir berdurasi 2 minit 45 saat dimuat naik di laman sosial Youtube pada Rabu lepas merayu kepada orang ramai memberi sumbangan kepada PPBM untuk melancarkan kerja-kerja politik.
Selain Mahathir, wajah Presiden PPBM, Muhyiddin dan timbalannya, Mukhriz turut terpampang dalam rakaman video tersebut yang turut merayu agar orang ramai membantu parti serpihan UMNO itu.
Jamal selaku Pengerusi Gabungan NGO Malaysia juga berkata, tindakan Mahathir melancarkan tabung PPBM itu hanya mahu mengaburi mata rakyat terhadap kegiatan ‘penyeludupan’ dana RM7.035 dari luar negara tanpa melalui Bank Negara Malaysia (BNM).
“Tun Mahathir sedang bersandiwara dengan rakyat Malaysia di mana beliau telah membawa masuk sejumlah AS$1.8 bilion ke dalam negara kita ini untuk menghadapi PRU14 akan datang,” dakwanya.
Dakwa Jamal lagi, dana sebesar itu akan digunakan Mahathir untuk ‘membeli’ wakil-wakil rakyat yang menang pada PRU14 semata-mata untuk mencapai cita-cita membentuk Kerajaan Persekutuan dan dilantik sebagai Perdana Menteri.
“Apabila kegiatan mereka membawa masuk duit tanpa melalui BNM terdedah, Tun Mahathir akan jawab duit itu adalah sumbangan daripada orang ramai.
“Tun Mahathir telah memikirkan bagaimana nak menjawab nanti kepada media dan orang ramai dari mana datangnya duit yang begitu banyak akan digunakan oleh Pakatan Harapan, terutamanya PPBM,” katanya.
Beliau berkata lagi, dana berkenaan juga digunakan untuk membayar parti-parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH) bagi membolehkan Mahathir dilantik sebagai pengerusi pakatan pembangkang itu.
“Masakan PKR dan DAP bersetuju. Saya dimaklumkan sebanyak RM1 bilion dibayar oleh Tun Mahathir untuk mendapat jawatan beliau sekarang ini dan RM700 juta dibayar kepada PKR dan Mohamad Sabu sendiri,” dakwanya lagi. – MalaysiaGazette