KUALA LUMPUR – Sudah tiba masanya pihak pembangkang menerima hakikat bahawa Malaysia telah berjaya dan dasar-dasar kerajaan yang berkesan.
Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, meskipun pembangkang terus mengulangi pembohongan mengenai Malaysia muflis tetapi laporan antarabangsa membuktikan ia tidak benar.
“Minggu ini, empat puluh tiga anggota Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO) telah memuji Malaysia kerana pencapaian ekonomi yang mengagumkan serta dasar perdagangan dan ekonomi yang berhemat.
“Malaysia turut dipuji kerana secara aktif mendukung dasar perdagangan terbuka sama ada melalui pembaharuan sehala, perdagangan serantau, perdagangan dua hala dan peraturan perdagangan pelbagai hala.
“Ahli-ahli WTO juga menyedari kejayaan Malaysia dalam membaharui dan mempelbagaikan ekonominya telah menyumbang kepada pertumbuhan yang berterusan meskipun menghadapi pelbagai cabaran luar,” kata Datuk Seri Salleh Said Keruak menerusi blognya di sini.
Jelasnya, pembaharuan ekonomi tidak mudah dan tidak boleh dilakukan secara jangka pendek dan memerlukan ketahanan dan kadang-kadang, dasar yang tidak popular demi untuk mencapai matlamat jangka panjang, terutamanya apabila cuba membetulkan kerosakan yang berlaku pada masa lalu.
Bagaimanapun, katanya, masyarakat antarabangsa mengiktiraf pencapaian Malaysia dan dapat melihat negara sedang menuju ke arah yang betul. – MalaysiaGazette