KUALA LUMPUR – Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP) mendakwa perancang utama di sebalik konspirasi menjatuhkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor didalangi oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.
Presidennya, Ramesh Rao mendakwa, Mahathir menggunakan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk melakukan ‘kerja kotor’ berkenaan dengan membubarkan PKR Cabang Kuala Selangor terlebih dahulu.
“Pada awal krisis Menteri Besar Selangor, sudah dapat dihidu dalang utama menjatuhkan Abdul Khalid ialah Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali yang juga diketahui sebagai anak angkat Mahathir.
“Ia adalah sebahagian daripada perancangan Azmin yang mahu jatuhkan Abdul Khalid kerana beliau dianggap pencabar terkuat Azmin dalam parti PKR,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ramesh mendedahkan bahawa Mahathir cuba melobi Mohamed Azmin sebagai calon Menteri Besar Selangor bagi mengelakkan seterunya, Datuk Seri Anwar Ibrahim melobi isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
“Mahathir tahu pihak Istana tidak memperkenan Wan Azizah dilantik sebagai Menteri Besar, dan maklumat menunjukkan bahawa Mahathir melobi Azmin untuk menghadap pihak Istana.
“Ketika itu, nama calon Menteri Besar seakan-akan dirahsiakan dan tiba-tiba di saat akhir, Azmin yang dilantik dan bukan Dr Wan Azizah,” katanya.
Ramesh turut mendakwa, skandal tanah di Ijok antara penyebab jatuhnya Abdul Khalid susulan transaksi dan penyerahan semula tanah itu oleh Kerajaan Negeri Selangor mencurigakan.
“Ia jadi masalah apabila tanah seluas 880 hektar itu diserahkan kembali kepada dua syarikat pemaju perumahan yang bermasalah,” katanya.
Dakwanya lagi, orang kanan Mahathir, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan mempunyai kaitan dengan konspirasi ini namun marah apabila namanya disebut oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan malah mengancam mahu menyamannya.
“Sampai sekarang Khairuddin ini tidak saman pun Abdul Rahman, isu ini pun jadi senjata Mahathir untuk jatuhkan Khalid untuk tempatkan Azmin sebagai Menteri Besar Selangor,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.