JAKARTA – Empat wilayah Indonesia isytihar amaran bencana selepas ancaman kebakaran hutan dan tanah terus meningkat pada permulaan musim kemarau di negara ini.
Wilayah tersebut adalah Sumatera Selatan, Riau, Kalimantan Barat dan Kalimantan Tengah – yang semuanya terdedah kepada kebakaran hutan seperti pada tahun-tahun sebelumnya.
Agensi bencana Indonesia berkata, gabenor-gabenor wilayah berkenaan mengumumkan amaran itu berdasarkan jumlah titik panas dan saranan oleh badan itu.
Jurucakap Badan Bencana Nasional, Sutopo Purwo Nugroho berkata, dengan pengisytiharan tersebut empat wilayah berkenaan akan memiliki akses mudah dari segi penyelenggaraan, logistik, dana dan arahan kerajaan untuk menangani kebakaran hutan.
Agensi itu berkata, terdapat sejumlah 90 titik panas di seluruh Indonesia dalam tempoh 24 jam hingga 7 pagi semalam, seperti yang dikesan oleh satelit Terra dan Aqua.
Kebanyakan titik panas berada di Kalimantan Barat. – MalaysiaGazette