Home Dunia Nasib 13 adik beradik mangsa dera terbela

Nasib 13 adik beradik mangsa dera terbela

LOS ANGELES – Kisah 13 adik beradik yang menjadi mangsa penderaan dan dikurung oleh ibu bapa sendiri mendapat prihatin rakyat Amerika Syarikat (AS).

Kutipan derma berjaya mengumpulkan dana bantuan sebanyak AS500,000 (RM1.95 juta) tidak kurang dalam tempoh sebulan sahaja.

Kempen sumbangan derma itu dianjurkan orang ramai selepas pihak polis menyerbu kediaman keluarga semua mangsa pada 14 Januari lalu.

Reuters melaporkan, kesemua mangsa yang berusia antara dua dan 29 tahun itu dirantai, dikurung dan dibiarkan tanpa makan di rumah pasangan David Turpin, 57 dan isterinya, Louise, 49.

Kedua-dua pasangan itu akan dibicarakan di mahkamah di Riverside, kira-kira 97 kilometer dari sini  pada Jumaat ini atas pelbagai tuduhan melakukan penyeksaan, penderaan kanak-kanak dan penahanan salah.

Yayasan Sistem Kesihatan Universiti Riverside yang mengetuai kempen kutipan derma menerima sumbangan yang dihantar menerusi pos untuk kanak-kanak terbabit seperti pakaian dan buku.

Sementara itu, David dan Louise Turpin yang berdepan lebih 24 pertuduhan bakal dikenakan hukuman penjara antara 94 tahun atau seumur hidup, jika sabit kesalahan.

Kedua-duanya tidak mengaku bersalah atas semua pertuduhan ketika dihadapkan ke mahkamah bulan lalu.

Mereka turut diarah ditahan dengan ikat jamin sebanyak AS$9 juta (RM35 juta) setiap seorang. – MalaysiaGazette