KUALA LUMPUR – Petroliam Nasional Bhd (Petronas) mengesahkan pembekalan gas asli cecair (LNG) ke India selepas memerterai perjanjian dengan H-Energy Mideast DMCC (HEMD).
Dalam satu kenyataan, syarikat minyak nasional negara itu berkata, Petronas LNG Ltd sudah menandatangani perjanjian jual dan beli pada 24 Januari dan ia merupakan kontrak LNG pertama diperoleh di India.
Perjanjian itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO), Ezhar Yazid Jaafar dengan CEO HEMD, Darshan Hiranandani.
Ezhar Yazid berkata, perjanjian itu sejajar dengan strategi Petronas untuk mengembangkan bekalan LNG dan membantu memenuhi permintaan yang semakin meningkat di negara keempat dunia yang pesat perkembangan ekonominya.
Petronas adalah pemain LNG ketiga terbesar di dunia dan ia diiktiraf sebagai pembekal LNG yang boleh dipercayai dan fleksibel, beroperasi dari pengkalan bekalan utamanya di Bintulu, Sarawak.
HEMD berpusat di Dubai adalah unit H-Energy Global Ltd (yang merupakan sebahagian Hiranandani Group). Perniagaannya adalah mendapatkan bekalan dan perdagangan LNG, minyak mentah, produk petroleum dan petrokimia. – MalaysiaGazette