Home Nasional SPRM siasat punca kajian persepsi rasuah negara merosot

SPRM siasat punca kajian persepsi rasuah negara merosot

SPRM
Bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menubuhkan Jawatankuasa khas Dalaman untuk mengkaji secara mendalam hasil laporan Indeks Persepsi Rasuah Antarabangsa terhadap Malaysia .

Laporan indeks itu dikeluarkan oleh Transparency International yang berpengkalan di Berlin, Jerman.

Ketua Pesuruhjaya Tan Sri Zulkifli Ahmad terkilan dengan kedudukan terbaharu bacaan indeks persepsi itu yang dianggap tidak selaras dengan usaha SPRM selama ini.

“Setiap minggu ada tangkapan, lebih ketara dari segi penguatkuasaan kami, namun apabila hasil Kajian Indeks Persepsi Rasuah Antarabangsa dikeluarkan ia tidak mencerminkan kedudukan semasa kita dengan inisiatif yang dilaksanakan sepanjang 2017 dan tahun sebelumnya.

“Namun kita tidak menolak hasil indeks terbaharu itu dan akan membuat kajian terperinci,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat kedua Lembaga Penasihat Badan Bebas SPRM kali kedua tahun 2018 di Akademi SPRM di sini.

Pengerusi lembaga berkenaan Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim buat kali terakhir mempengerusikan mesyuarat itu berikutan tempoh perkhidmatan beliau dalam lembaga itu tamat secara rasmi hari ini.

Dalam perkara berkaitan, Zulkifli juga berkata, SPRM masih belum meneliti sepenuhnya, aspek mana yang menjejaskan kedudukan Malaysia.

Dalam laporan terbaru itu, kedudukan Malaysia telah jatuh dua mata daripada kedudukan 49 kepada 47.

Kata beliau, sebenarnya persepsi indeks yang dijalankan oleh Transparency International keseluruhannya melibatkan isu hak asasi, senario politik, hal perniagaan, keefisienan perniagaan di Malaysia dan bukan sekadar rasuah.

Sebaliknya,  jelas beliau, tugas SPRM hanya fokus rasuah dan tidak melibatkan penelitian mendalam segala aspek lain yang difokuskan Transparency International itu.

“Dari 2017 lagi,kita bukan sahaja agresif tangkap perasuah dan salahguna kuasa. Selainh penguatkuasaan, kita juga melaksanakan pendidikan juga, sepatutnya realiti indeks tersebut di tahap lebih baik berbanding tahun 2016. Sebab itu saya sangat terkejut dan bingung dengan hasil dapatan itu,” katanya lagi.

Menurut beliau, indeks persepsi rasuah oleh Transparency International  sebenarnya dikeluarkan dengan kombinasi beberapa kajian oleh organisasi berbeza secara prinsip untuk komuniti niaga merangkumi keadaan rasuah dan banyak perkara lain.

“Malah jawatankuasa khas dalam yang akan menyiasat penemuan indeks persepsi rasua antarabangsa-Malaysia ini akan dianggotai gabungan badan bebas dan bukan anggota SPRM,” tegas beliau. – MalaysiaGazette