NEW YORK – Â Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) akan mengadakan undian bagi menyokong draf resolusi mendesak gencatan senjata selama 30 hari di Syria.
AFP melaporkan, resolusi ini bertujuan bantuan kemanusian seperti penghantaran makanan serta perubatan ke negara bergolak tersebut.
Sweden dan Kuwait yang bertanggungjawab merangka resolusi itu memohon supaya proses pengundian dilaksanakan dalam kadar segera.
Bagaimanapun belum dapat dipastikan seandainya Russia akan menggunakan kuasa vetonya bagi menghalang undian untuk draf tersebut.
Russia menggesa supaya UNSC mengadakan mesyuarat tergempar bagi membincangkan krisis di Timur Ghouta.
Duta Russia, Vassily Nebenzia menganggap krisis itu sebagai satu ‘situasi yang kompleks.
Draf resolusi itu mendesak supaya gencatan senjata itu dikuatkuasakan dalam tempoh 72 jam selepas ia diluluskan, bagi membolehkan penghantaran bantuan dan pemindahan perubatan bermula 48 jam selepas itu.
Ia juga mendesak supaya kepungan, termasuk di Timur Ghouta, Yarmouk, Foua dan Kefraya ditarik balik dan mengarahkan semua pihak berhenti daripada menghalang penghantaran makanan dan perubatan kepada penduduk awam di kawasan terbabit.
Sebelum ini, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres beberapa kali mendesak supaya konflik dan peperangan di Timur Ghouta oleh pemberontak Syria segera ditamatkan sebelum lebih banyak pertumpahan darah berlaku.
Kebimbangan nasib 400,000 orang awam di Timur Ghouta yang menjadi tanda tanya sering disuarakan oleh PBB agar konflik itu segera ditamatkan.- MalaysiaGazette