Home Politik Isu RM90 juta: Pas konsisten saman Sarawak Report

Isu RM90 juta: Pas konsisten saman Sarawak Report

Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Pas mengulangi pendiriannya bahawa tuduhan Sarawak Report mendakwa parti Islam itu menerima dana RM90 juta daripada pemimpin UMNO merupakan satu pembohongan semata-mata.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, pihaknya konsisten menafikan tuduhan palsu itu dengan meneruskan tindakan saman terhadap portal penyebar fitnah terbabit hingga proses itu selesai di mahkamah.

Menurutnya, terdapat petanda awal perbicaraan itu akan dimuktamadkan dalam masa terdekat dan menjangkakan keputusan mahkamah itu akan memihak kepada Pas.

“Jika kita ambil duit RM90 juta, kita tak pakai khemah ini. Kita pakai khemah cantik lagi. Kita telah saman mereka yang tuduh kita terima RM90 juta daripada UMNO.

“Orang itu duduk di England bukan duduk di sini (Malaysia). Orang sini yang ajar dia, orang sini yang upah dia. Jadi, kita saman di Mahkamah England.

“Pada April depan, akan ada satu keputusan dan kita akan lawan sampai habis, InsyaAllah,” katanya ketika berucap pada majlis Jamuan Sempena Tahun Baharu Cina 2018 di perkarangan Pejabat Penyelaras Parlimen Pas Kuala Terengganu, Kuala Terengganu, semalam.

Pas memulakan tindakan undang-undang terhadap editor portal Sarawak Report, Claire Rewcastle-Brown di mahkamah London pada 21 April tahun lepas.

Dalam tindakan saman itu, selain ganti rugi yang tidak dinyatakan jumlahnya, Abdul Hadi juga memohon injunksi agar portal terbabit tidak mengulangi dakwaan itu lagi.

Tindakan undang-undang itu difailkan oleh firma Carter-Ruck, bagi pihak pemimpin PAS itu, selepas Rewcastle-Brown enggan menarik balik dan memohon maaf.

Abdul Hadi juga menegaskan Pas akan konsisten mencabar UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) akan datang, sekaligus menafikan desas-desus mengatakan parti itu mahu ‘berdamping’ dengan parti pemerintah itu.

“Kita nak lawan UMNO pada pilihan raya ini. Kita tanding 130 kerusi dan sudah tentulah kerusi yang Pas lawan itu ialah UMNO.

“DAP tak lawan UMNO, DAP lawan MCA. PKR lawan semua, kita lawan UMNO untuk pilihan raya ini. Di Terengganu, kita (Pas) akan tanding 32 kerusi DUN dan lapan Parlimen semua,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.