Home Politik Sedia bertanding jika pengundi Sekinchan terima – Tiong Lai

Sedia bertanding jika pengundi Sekinchan terima – Tiong Lai

Datuk Seri Liow Tiong Lai

SEKINCHAN – Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai tidak menolak kemungkinan akan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekinchan sekiranya pengundi kawasan itu mahu beliau berbuat demikian.

Beliau berkata, sebagai seorang ahli politik, kemungkinan itu tidak dinafikan, lebih-lebih lagi tumpuan sekarang untuk memenangkan Barisan Nasional (BN) khususnya di DUN Sekinchan yang tewas kepada DAP sejak tiga penggal lalu.

“Dalam politik apa-apa pun boleh berlaku, kita sangat berbesar hati (ditawar jadi calon), tapi hanya tuhan akan menentukan.

“Kita tengoklah bagaimana, saya akan beri kerjasama, yang paling penting, kita mesti bersatu-padu dengan orang Sekinchan untuk kuatkan BN.

“Saya yakin dengan adanya kerjasama yang baik di antara MCA dan UMNO, kita boleh jayakan kemenangan BN dalam kawasan Parlimen Sungai Besar ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Jamuan Sambutan Tahun Baharu Cina di Restoran Golden View, di sini, semalam.

Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai bercakap kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Sungai Besar Kini Versi Cina di Restoran Golden View, Sekichan, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunos pada 10 Februari lalu yang berhasrat meletakkan Presiden MCA itu sebagai calon BN di kerusi N04 DUN Sekinchan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Idea Jamal meletakkan Tiong Lai bertanding di kawasan tersebut adalah semata-mata untuk memastikan kerusi yang dimenangi calon DAP, Ng Suee Lim sejak tiga penggal lalu dalam Pilihan Raya Umum ke-11 pada 2004 itu kembali kepada BN dalam PRU14 tidak lama lagi.

Peluang BN untuk merampas kerusi DUN Sekinchan diramalkan cerah dan mampu bertukar tangan susulan BN memperoleh kemenagan besar dalam Pilhan Raya Kecil Sungai Besar pada 2016 dengan majoriti 9,191 undi.

Bagaimanapun Tiong Lai menafikan tindakan beliau menamakan arkitek muda sebagai calon MCA di kawasan itu untuk menutup dan mengalih perhatian orang ramai terhadap cadangan itu.

“Owh tidak (tutup khabar angin), saya berterima kasih kepada Datuk Seri Jamal kerana mencalonkan saya.

“Memamg saya diberitahu (jadi calon), memang hati saya berada di Sekinchan, saya amat sayang Sekinchan, sejak muda lagi saya banyak aktiviti di Sekichan.

“Memang saya amat prihatin dengan masalah dan perkembangan kemajuan di Sekinchan,” katanya.

Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai (tengah) bersama Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos (dua kiri) dan Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi (kiri) pada Majlis Pelancaran Sungai Besar Kini Versi Cina di Restoran Golden View, Sekichan, semalam.

Katanya lagi, tindakan beliau mengumumkan calon yang disenaraipendekkan itu semata-mata untuk memastikan parti komponen BN itu dapat bergerak dengan pantas ke akar umbi.

“Kita harap bahawa UMNO, MCA, MIC dan semua parti komponen BN dapat bekerja rapat.

“Memang MCA sudah buat senarai pendek calon-calon kita supaya mereka boleh bekerja kuat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.